UMNO Selangor sokong tindakan JAIS rampas Bible bahasa Melayu, Iban
SHAH ALAM, SABTU, 04 Januari, 2013: UMNO Selangor menyokong penuh tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan Iban dalam satu serbuan di premis Persatuan Bible Malaysia (PBM) di Petaling Jaya, Khamis lalu.
Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Noh Omar menegaskan, tindakan JAIS itu bertepatan dengan peruntukan undang-undang yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di Selangor dalam apa juga bahasa sama ada Melayu, Inggeris, Cina mahupun Iban.
SABTU,
0Larangan itu katanya juga termaktub dalam Enakmen Agama Bukan Islam Negeri Selangor (Kawalan Pengembangan di Kalangan Bukan Islam) 1988 yang dikuatkuasakan sehingga ke hari ini.
Menurutnya, tindakan JAIS adalah selaras dengan titah perintah Sultan Selangor yang merupakan Ketua Agama Islam negeri sebelum ini supaya semua kaum tidak mengira agama supaya patuh serta akur dengan larangan penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam.
Di Selangor, enakmen itu telah dikuatkuasakan sejak 26 tahun lalu dan masih sah sehingga ke hari ini.
Sehubungan itu tindakan yang menafikan usaha JAIS itu adalah tidak menghormati undang-undang di Selangor. Kita juga meminta JAIS dan pihak polis meneruskan siasatan serta mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat sekiranya disabitkan melanggar undang-undang yang ada," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan UMNO Selangor, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Noh memberitahu, pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew yang dilaporkan sebelum ini mahu gereja Katolik di Selangor terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan agama itu.
Tegasnya, Andrew tidak perlu bersikap biadab kerana undang-undang yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di Selangor telah lama dikuatkuasakan di negeri ini.
Kenyataan beliau bakal menimbulkan kemarahan orang Islam di Selangor dan tidak mustahil perkara di luar jangkaan boleh berlaku. UMNO Selangor akan terus memantau perkara ini selain mengadakan siri bantahan supaya enakmen dan titah sultan tentang larangan pengunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dipertahankan," tegasnya.
Bagaimanapun, kata Noh, UMNO Selangor melarang pemimpin parti itu serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini membuat bantahan di mana-mana gereja di seluruh Selangor.
Saranan penggunaan kalimah Allah di gereja di Selangor dibuat oleh Andrew sendiri, bukannya daripada mana-mana pemimpin Kristian lain. Sehubungan itu kita tidak bersetuju jika ada pihak yang ingin membuat perhimpunan atau bantahan di gereja-gereja.
Gereja atau mana-mana rumah ibadat bukan Islam tidak boleh diganggu kerana kemungkinan akan disalah tafsir sebagai menghalang kebebasan beragama," ujarnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment