My Add

Thursday 27 February 2014

2 beradik ke tali gantung

Oleh SITI NOORALINA AHMAD
 
 * MOHD. Shamsul Abdul Aziz @ Abdul Azis (kiri) bersama adiknya, Tuti Adayu dibawa keluar dari mahkamah selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung setelah didapati bersalah membunuh seorang warga emas empat tahun lalu. - UTUSAN/AZLI ADLAN
SHAH ALAM, RABU, 26 Februari, 2014: Dua beradik dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, selepas didapati bersalah membunuh seorang warga emas dalam satu kejadian samun di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Ghazali Cha menjatuhkan hukuman itu terhadap pekerja kedai telefon, Mohd. Shamsul Abdul Aziz @ Abdul Azis, 46, dan adik perempuannya, Tuti Adayu, 34, selepas mendapati pembelaan kedua-dua tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mereka didapati bersalah membunuh Nen Ariffin, 75, di No. 35, Jalan Kembojasari 12, Bandar Sungai Buaya, Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pada pukul 8.15 malam, 27 Februari 2010.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Hakim Ghazali turut menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan sebatan tiga kali ke atas Mohd. Shamsul serta hukuman penjara lapan tahun terhadap Tuti Adayu selepas mendapati mereka bersalah melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan pisau ke atas isteri Nen, Siti Aminah Lateh, 73.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tempat, masa dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Hukuman penjara ke atas Mohd. Shamsul, anak kedua daripada lapan beradik dan Tuti Adayu, anak keempat dan merupakan suri rumah, diperintah berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 2 Mac 2010.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Siti Aminah yang hadir ke mahkamah untuk membacakan kenyataan impak kesalahan terhadap mangsa (VIS) menyatakan, dia kehilangan tempat bergantung selepas suaminya meninggal dunia.

Dalam kejadian samun itu, dua rantai emas dan dua gelang tangan milik Siti Aminah telah dilarikan.

Punca kematian mangsa adalah disebabkan luka tikaman di bahagian abdomen.

Hakim Ghazali dalam penghakimannya berkata, versi pembelaan kedua-dua tertuduh tentang kemungkinan terdapat pasangan lain yang datang ke rumah mangsa, merompak serta membunuhnya tidak pernah ditimbulkan oleh saksi-saksi pendakwaan khususnya Siti Aminah.

Justeru, beliau berpuas hati bahawa pembelaan kedua-dua tertuduh hanya rekaan semata-mata dan difikirkan kemudian.

Menurut beliau, pembelaan mereka mengenai kereta Proton Saga berwarna merah yang dikatakan milik orang lain hanya ditimbulkan semasa kes pembelaan bermula.

"Saya berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan Seksyen 34 Kanun Keseksaan iaitu niat bersama kedua-dua tertuduh untuk melakukan jenayah itu seperti dalam pertuduhan dan ia jelas daripada keterangan Siti Aminah yang mengatakan kedua-dua tertuduh datang bersama, masuk rumah mangsa dan melakukan jenayah bersama-sama," kata beliau.

Sejurus selepas hukuman dijatuhkan, Siti Aminah serta empat daripada lima anaknya yang hadir di mahkamah dilihat menangis tanda kesyukuran manakala anggota keluarga kedua-dua tertuduh dilihat saling berpelukan dan menangis.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar memanggil 34 saksi sementara pembelaan yang diwakili peguam V. Aravindhaksan mengemukakan tiga saksi termasuk kedua-dua tertuduh. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment