My Add

Wednesday 26 February 2014

Buka saluran komunikasi - TPM

Oleh HUSSAINI AMRAN

 * MUHYIDDIN Yassin (tengah) bersama Anifah Aman (kiri) dan Hamzah Zainuddin (kanan) selepas menghadiri Persidangan Ketua-Ketua Perwakilan Kali Kelapan di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN
KUALA LUMPUR, SELASA, 25 Februari, 2014: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta diplomat-diplomat Malaysia agar sentiasa mendekati dan berkomunikasi dengan rakyat Malaysia di negara asing.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa memberi penekanan terhadap aspek tersebut sebagai sebahagian daripada tugas yang perlu dilaksanakan para diplomat Malaysia.

Menurut beliau, rakyat Malaysia di negara asing adalah aset penting yang boleh membantu para diplomat menjalinkan hubungan yang memberi manfaat kepada Malaysia dan negara-negara terbabit.

"Kenali seramai mungkin rakyat Malaysia yang berada di negara-negara anda bertugas.

"Memandangkan bukan semua rakyat Malaysia tinggal berdekatan dengan ibu negara, internet menyediakan pelbagai cara bagi membolehkan perkara ini dilakukan," katanya ketika berucap dalam Persidangan Ketua-Ketua Perwakilan Kali Kelapan di Institusi Diplomasi dan Hubungan Luar di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; timbalannya, Datuk Hamzah Zainuddin dan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Othman Hashim.

Muhyiddin menambah, ketua-ketua perwakilan Malaysia di negara asing mesti sentiasa berkomunikasi dengan rakyat Malaysia sama ada secara formal atau tidak formal.

Jelas beliau, langkah itu berguna semasa krisis lebih-lebih lagi dalam situasi bencana alam atau apabila berlaku kekacauan sosial dan politik.

"Kita hendaklah memastikan rakyat Malaysia dalam keadaan selamat apabila situasi-situasi tersebut berlaku di luar negara," ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri turut menyarankan agar rakyat Malaysia di negara asing sentiasa diberi penjelasan tentang peristiwa atau insiden yang berlaku di negara ini.

"Dengan membuka saluran komunikasi, anda dapat berkongsi pandangan dengan khalayak yang lebih ramai di negara anda bertugas.

"Sebagai ketua perwakilan Malaysia di luar negara, anda seharusnya sentiasa menonjolkan imej positif berhubung Malaysia dan menyuarakan pendirian kita tentang pelbagai isu dengan berkesan," jelasnya.

Muhyiddin memberitahu, usaha mendekati rakyat Malaysia di luar negara boleh dilakukan tanpa sebarang kos menerusi media sosial.

Di samping itu, beliau berkata, diplomat-diplomat Malaysia perlu berganding bahu dengan Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) bagi menarik minat rakyat Malaysia yang memiliki kepakaran tertentu untuk pulang dan berkhidmat di negara sendiri.

"Kita akan mencari jalan yang praktikal dan realistik bagi menjayakan matlamat ini menerusi rangkaian kira-kira sejuta rakyat Malaysia serta perwakilan kita di 105 negara," ujarnya.

Menurut Muhyiddin, TalentCorp juga bersedia menganjurkan program dengan kerjasama kedutaan atau konsulat Malaysia di luar negara dan menyalurkan dana yang diperlukan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment