My Add

Friday 28 February 2014

Ops Bersepadu 6P fasa 2 bermula

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH

PUTRAJAYA, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Ops Bersepadu 6P yang sebelum ini hanya menumpukan untuk memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) kini memasuki fasa baharu apabila kerajaan akan melancarkan operasi penguatkuasaan terhadap premis perniagaan yang dikuasai warga asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemeriksaan akan dilakukan di semua premis perniagaan dikuasai warga asing sama ada menggunakan lesen rakyat tempatan atau kaedah lain untuk menjalankan perniagaan bermula hari ini.

"Saya tidak berhajat untuk memberi amaran tetapi jika ada antara mereka masih berniaga dengan lesen rakyat tempatan atau tidak mempunyai dokumen sah atau sekadar mempunyai dokumen lawatan sosial tetapi melakukan perniagaan saya nasihatkan hentikan segera aktiviti ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan bersama Persatuan Penerbit al-Quran Malaysia (PQM) di pejabatnya di sini hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid memberi amaran keras kepada semua warga asing yang masih menjalankan perniagaan secara haram itu supaya menghentikannya dan meninggalkan negara ini dengan segera.

Katanya, beliau tidak akan bertoleransi dengan keadaan tersebut dan berjanji untuk menyelesaikan masalah itu dengan tegas.

Dalam pada itu, beliau berkata, operasi kali ini juga akan dilaksanakan dengan pengawasan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya tidak timbul isu rasuah ketika penguatkuasaan dilaksanakan.

"Dalam fasa kedua ini saya sendiri akan turun bersama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen di samping bantuan polis, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan SPRM untuk tentukan tiada unsur rasuah membeli pegawai kami.

"Mereka yang ditahan dalam operasi ini kemudiannya akan ditahan di kem tahanan kita seperti tahanan PATI dalam operasi lalu," katanya.

Mengulas mengenai lesen perniagaan milik rakyat tempatan yang diberikan kepada peniaga asing, beliau berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan.

"Oleh sebab lesen dikeluarkan PBT saya minta kerjasama mereka tarik balik lesen yang disewa itu kerana tujuan peluang perniagaan diberikan bukan untuk mendapatkan komisen atau menjatuhkan maruah dengan memberi lesen pada rakyat asing," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment