My Add

Tuesday 25 February 2014

Bukti wujud perpecahan serius dalam parti pembangkang - Zaid

KUALA LUMPUR, ISNIN, 24 Feruari, 2014: Tindakan undang-undang yang diambil ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Shamsul Mat Amin ke atas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehingga Presiden Pas itu diperintah mahkamah membayar saman berjumlah RM2 juta, adalah bukti berlaku perpecahan serius dalam pakatan pembangkang.

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Datuk Zaid Ibrahim berkata, sebenarnya isu saman yang dikemukakan calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Terengganu ke atas Abdul Hadi itu boleh diselesaikan di luar mahkamah jika Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersungguh-sungguh mahu menyelesaikannya.

Namun, beliau hairan mengapa Anwar yang diangkat sebagai Ketua Pembangkang bertindak mendiamkan diri dan tidak mengarahkan Mohd. Shamsul menarik balik saman terbabit sehingga menunjukkan kecelaruan dalam kerjasama politik antara komponen pakatan pembangkang khususnya membabitkan PKR dengan Pas.

"Isu ini tidak harus dilihat secara sempit. Ini lebih besar iaitu menunjukkan seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena, yang boleh memberi persepsi wujudnya permusuhan yang serius di antara PKR dengan Pas. Dari segi moral tindakan wakil PKR di Terengganu menyaman Presiden Pas hanya menunjukkan kecelaruan dalam pakatan.

"Mengapa Anwar hanya berdiam diri dalam isu ini yang sudah berlaku sejak pilihan raya umum lalu? Mengapa Anwar membiarkan ahli partinya mengemukakan saman terhadap rakan karibnya sendiri? Tidakkah ini mengelirukan rakyat dan penyokong pakatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mahkmah Tinggi Kuala Terengganu dalam penghakiman ingkar hari ini mengarahkan Abdul Hadi membayar saman RM2 juta selain turut diarahkan membayar lima peratus faedah dari writ saman difailkan sehingga penyelesaian penuh berserta kos tindakan sebanyak RM1,500 kerana gagal memfailkan pembelaan.

Tindakan saman itu dibuat Mohd. Shamsul selepas Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan bahawa ada calon PKR yang menjual pil kuda menjelang pilihan raya umum lalu sebagai alasan untuk Pas meletakkan calonnya bertanding di DUN Bukit Besi sehingga menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru.

Dalam pada itu, Zaid yang berhasrat bertanding dalam Pilihan Raya Kecil DUN Kajang menambah, walaupun tindakan mengemukakan saman adalah hak mana-mana individu, tetapi sebagai Ketua Pembangkang, Anwar perlu bersifat budiman dengan memilih penyelesaian luar mahkamah dan bukannya mengamalkan politik angkuh.

"Oleh itu, saya menggesa Anwar supaya mengarahkan ahlinya menarik balik saman terhadap Abdul Hadi. Jika kes ini diteruskan dan Anwar tetap mengambil pendekatan berdiam diri hanya menunjukkan keangkuhan PKR," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment