My Add

Tuesday 25 February 2014

Tarikh baharu jatuh hukum Karpal 11 Mac

KUALA LUMPUR, ISNIN, 24 Februari, 2014: 11 Mac ditetapkan sebagai tarikh baharu untuk mitigasi dan menjatuhkan hukuman terhadap peguam Karpal Singh selepas didapati bersalah mengeluarkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak berhubung pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak pada 2009.

Karpal yang juga Pengerusi DAP mengesahkan tarikh itu kepada Bernama ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini hari ini.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan 7 Mac untuk menjatuhkan hukuman.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata, beliau dimaklumkan secara lisan tarikh baharu itu oleh timbalan pendaftar hari ini memandangkan hakim perbicaraan Datuk Azman Abdullah yang bertugas di Mahkamah Tinggi Kota Baharu, Kelantan tidak dapat hadir pada tarikh awal itu.

Karpal, 74, didapati bersalah pada Jumaat lalu, mengeluarkan kenyataan itu di firma guamannya di Jalan Pudu Lama pada 6 Februari 2009 bahawa pengguguran Mohammad Nizar sebagai menteri besar dan pelantikan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir oleh Sultan Perak boleh dipersoal di mahkamah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Karpal menghadapi risiko hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen jika didenda lebih RM2,000 atau dipenjara melebihi tempoh setahun.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Karpal daripada pertuduhan itu pada 11 Jun 2010, bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 20 Januari 2012 memerintahkan peguam berkenaan membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment