My Add

Friday 28 February 2014

Empat sekeluarga maut nahas

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN

JEMPOL, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Empat sekeluarga termasuk seorang anggota Askar Wataniah maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 22, Jalan Bahau-Keratong, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa, Mohd. Fauzan Abu Bakar, 32, yang bertugas di Port Dickson dekat sini maut di tempat kejadian bersama isteri, Nur Hidayah Ngah, 28, serta dua anak perempuan mereka, Nur Ain Shahiera, 6, dan Nur Aina Shahmiera, 10 bulan.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Hamzah Alias berkata, ketika kejadian mangsa memandu kereta Proton Saga dari arah Keratong menuju ke Bahau.

Beliau berkata, sampai di lokasi kemalangan, sebuah kereta Proton Waja yang datang dari arah Bahau tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta mangsa.

"Pertembungan itu mengakibatkan kereta Mohd. Fauzan terbalik. Dia serta keluarganya cedera parah akibat tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu Proton Waja, Muhammad Fairahall Abbas, 45, yang memandu berseorangan pula patah kaki kanan dan dikejarkan ke hospital," katanya kepada pemberita di sini.

Menurut Hamzah, kesemua mayat mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh pasukan bomba dari Balai Bandar Seri Jempol sebelum dihantar ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.

Pemandu kereta Proton Waja itu adalah adik kepada wakil TV3 negeri ini, Muhammad Faizal Abbas. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment