My Add

Friday 28 February 2014

2.2 juta penduduk Lembah Klang terbabit catuan air mulai Ahad ini

CYBERJAYA, JUMAAT, 28 Februari, 2014: Kira-kira 2.2 juta penduduk di Lembah Klang terbabit catuan bekalan air yang bermula Ahad ini sehingga 31 Mac susulan paras air semua empangan di Selangor kini pada tahap kritikal.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ismail Kasim berkata, peringkat kedua pengagihan air berjadual itu membabitkan 260 kawasan di Gombak, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Petaling dan Kuala Lumpur.

Peringkat kedua ini membabitkan 358,342 akaun atau 431,617 isi rumah dengan jumlah keseluruhan pengguna kira-kira 2.2 juta, katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPAN di sini hari ini.

Katanya, seperti peringkat pertama, catuan peringkat kedua ini juga membabitkan penyaluran bekalan air selama dua hari dan catuan dua hari berikutnya mengikut zon.

"Bekalan air tidak terjejas di beberapa kawasan di Kuala Lumpur, pusat pentadbiran persekututan Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan negeri Selangor di Shah Alam, Pelabuhan Klang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Subang, hospital kerajaan dan swasta serta kawasan zon bebas cukai.

"Syabas turut menyediakan lori tangki dan tangki air statik untuk acara tertentu dan premis yang memerlukannya seperti majlis kenduri, pusat dialisis, rumah kebajikan dan kematian," katanya.

Beliau juga berkata, tempoh catuan sehingga 31 Mac itu akan diteliti semula bergantung kepada paras air di semua empangan yang terjejas.

Peringkat pertama catuan air yang bermula semalam melibatkan 60,000 isi rumah di Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang susulan pencemaran amonia di Sungai Langat.

Beliau berkata, untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Syabas di talian bebas tol 1-800-88-5252 atau menerusi SMS dengan menaip PUSPEL dan hantar ke 39222.

Sementara itu, mengulas agihan air berjadual di Kluang, Johor, Ismail berkata tempoh akan dilanjutkan susulan paras Sungai Sembrong Kiri semakin menyusut.

Di Negeri Sembilan, paras Empangan Gemencheh yang membekalkan air untuk daerah Tampin dan Rembau turut berada pada tahap membimbangkan, katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment