My Add

Tuesday 25 February 2014

Taib terima watikah pelantikan Yang Dipertua Negeri Jumaat ini?

KUCHING, ISNIN, 24 Februari, 2014: Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dijangka dilantik secara rasmi sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak bagi menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng yang tamat tempoh perkhidmatan di Istana Negara, Kuala Lumpur Jumaat ini.

Sumber memberitahu Utusan Malaysia, Abdul Taib yang akan menyerahkan jawatan Ketua Menteri kepada penggantinya, Tan Sri Adenan Satem yang pada tarikh sama akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara bagi menerima menerima watikah pelantikannya pada hari berkenaan.

Beliau berkata, majlis pelantikan itu dibuat secara tertutup pada sepetang dengan hanya disaksikan oleh beberapa orang kenamaan dari Sarawak termasuk Adenan yang baharu dilantik sebagai Ketua Menteri pada sebelah pagi sebelum itu.

"Selesai sahaja upacara pelantikan di Istana Negara, Abdul Taib akan pulang semula ke sini dan majlis menyambut bakal Yang Dipertua Negeri baharu itu akan diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching kira-kira pukul 8 malam pada hari yang sama.

"Istiadat mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh bagaimanapun hanya dibuat keesokannya iaitu 1 Mac ini (Sabtu) pada kira-kira pukul 10 pagi di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Petra Jaya di sini, diikuti Majlis Santapan Malam Negeri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, pada hari sama, sumber berkata, Adenan akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak kelima di hadapan Muhammad Saladuddin dan isteri, Toh Puan Norkiah di Astana Negeri, Petra Jaya di sini.

Beliau berkata, istiadat angkat sumpah yang dijangka bermula pada pukul 9.30 pagi itu turut dihadiri oleh orang kenamaan termasuk anggota Kabinet negeri dan pemimpin Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Majlis bersejarah itu turut merupakan acara rasmi terakhir bagi Abang Muhammad Salahuddin sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak sebelum beliau menyerahkan jawatan itu kepada Abdul Taib.

Sumber memberitahu, segala urusan bagi memastikan istiadat angkat sumpah itu berjalan lancar sudah dibincang oleh Unit Perhubungan Awam dan Hal-Ehwal Koporat Pejabat Ketua Menteri dalam mesyuarat dengan pihak Astana Negeri.

Difahamkan, surat undangan rasmi kepada tetamu jemputan bagi menghadiri kedua-dua majlis yang berlangsung di Istana Negara dan Astana Negeri sudah diedarkan bermula semalam.

Sementara itu, Abdul Taib hari ini mempengerusikan Mesyuarat Kabinet Sarawak terakhir di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini sebelum menyerahkan jawatan Ketua Menteri kepada Adenan Satem, Jumaat ini.

Jabatan Penerangan dalam satu kenyataan memaklumkan, Abdul Taib bersama Adenan yang merupakan Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tugas-tugas Khas) tiba kira-kira pukul 11.30 pagi dengan menaiki kereta yang sama.

"Pada mesyuarat tersebut, semua Menteri Kabinet Sarawak menghadiahkan satu plak peringatan dan penghargaan ditandatangani bersama kepada Abdul Taib," kata kenyataan itu. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment