My Add

Friday 28 February 2014

Suasana sedih selubungi hari terakhir Abdul Taib

KUCHING, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Tan Sri Abdul Taib Mahmud gagal menyembunyikan perasaan sedih ketika meninggalkan pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini secara rasmi sebagai Ketua Menteri hari ini.

Beliau yang memegang jawatan itu selama 33 tahun diiringi isterinya, Puan Sri Ragad Kurdi Taib pada mulanya turun dari pejabatnya di tingkat 22 dalam keadaan tersenyum.

Bagaimanapun, riak wajah bakal Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh itu mulai berubah sedih apabila melihat sambutan luar biasa kakitangannya.

Rata-rata wajah kakitangan awam yang hadir sedih, malah ada yang mengalirkan air mata sebaik sahaja melihat Abdul Taib menghampiri mereka untuk bersalaman dalam suasana cuaca redup yang seolah-olah turut bersedih.

Mereka turut dilihat memegang sepanduk yang bertulis 'I Love Pehin Sri', 'I Love Ketua Menteri', 'Terima Kasih Pehin Sri' dan pantun-pantun Melayu sebagai penghargaan.

Menariknya, bakal Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem membaca rangkap-rangkap pantun tersebut sambil diperhatikan oleh Abdul Taib.

Sebelum meninggalkan bangunan tersebut, Abdul Taib bersalaman dengan semua ketua jabatan dan sempat memberikan beberapa lagi nasihat terakhir.

Abdul Taib, 78, melakar sejarah dalam dunia politik Sarawak sebagai tokoh termuda yang mengangkat sumpah sebagai Menteri pada 22 Julai 1963.

Ketika usianya baharu 27 tahun, Abdul Taib terus mencurah bakti dan dedikasi sebagai Menteri Persekutuan selama 13 tahun dan seterusnya menjadi Ketua Menteri Sarawak pada 26 Mac 1981.

Adenan yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas di Pejabat Ketua Menteri akan mengambil alih tugas beliau secara rasmi selepas upacara mengangkat sumpah yang dijadual berlangsung di Astana Negeri Sarawak pada pukul 10 pagi esok. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment