My Add

Tuesday 25 February 2014

Kolumnis terima ugutan bunuh

KUALA LUMPUR, ISNIN, 24 Februari, 2014: Presiden Pertubuhan Hak Belia Malaysia yang juga pengasas blog SYA For The Nation, Shen Yee Aun menerima ugutan bunuh berikutan penulisannya yang bertajuk Laman penyokong Red Bean Army (RBA) ditutup? di dalam akhbar Mingguan Malaysia semalam.

Yee Aun memberitahu, ugutan itu dibuat oleh beberapa individu tidak dikenali dipercayai ahli RBA melalui komen di dalam laman Facebook beliau sejak semalam.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, tidak akan tunduk dengan ugutan itu malah akan bekerja lebih kuat untuk menentang DAP.

"Saya kini mengumpul maklumat berhubung ugutan bunuh itu sebelum membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam tempoh terdekat.

"Ini bukan kali pertama ugutan seumpama ini yang saya terima. Saya akan terus menulis di dalam Mingguan Malaysia bagi mendedahkan keburukan dan penyelewengan DAP kepada rakyat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Mingguan Malaysia menyiarkan artikel Yee Aun yang mendedahkan kegiatan ahli-ahli RBA yang berbahaya dan perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa sebelum meracuni fikiran rakyat.

Dalam pada itu, Yee Aun juga mengecam tindakan portal berita propembangkang Malaysiakini yang disifatkan berat sebelah kerana tidak melaporkan berita ugutan bunuh tersebut kepada pembaca mereka.

Jelas beliau, sebaliknya apabila Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok diugut untuk ditampar, Malaysiakini bersungguh-sungguh melaporkan kejadian itu seolah-olah boleh mengancam nyawa.

"Jika Malaysiakini serta penyokong tegar pembangkang riuh mempertahankan Teresa yang terang-terangan memperlekeh pejuang negara, kenapa dalam ugutan bunuh kepada saya didiamkan sedangkan saya langsung tidak menghina negara.

"Sepatutnya, Malaysiakini yang kononnya memperjuangkan keadilan perlu bersikap lebih saksama dalam perkara ini memandangkan melibatkan nyawa saya termasuk keluarga serta kenalan terdekat," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment