My Add

Tuesday 25 February 2014

Dakwaan tidak berasas - KPN

Oleh ASSIM HASSAN

 Khalid Abu Bakar
KOTA KINABALU, ISNIN, 24 Februari, 2014: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan laporan portal propembangkang, The Malaysian Insider yang mendakwa pegawai kanan polis yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memiliki RM20 juta dalam pelbagai akaun, sebagai tidak berasas.

Tegasnya, beliau secara peribadi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara khususnya tidak dimaklumkan oleh suruhanjaya itu mengenai perkara itu.

Sehubungan itu kata beliau, pihaknya akan menulis surat kepada SPRM bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai kes tersebut.

"Apa pun saya tidak tahu mengenai dakwaan yang dilaporkan dalam portal itu. Saya tidak tahu dari mana mereka mendapat maklumat tersebut.

"Ia laporan yang tidak berasas. Saya sendiri ingin tahu siapa pegawai kanan itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara kepada Pegawai dan Anggota Cawangan Khas di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Akhil Bulat dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib.

Semalam, portal propembangkang itu mendakwa, seorang pegawai kanan yang disiasat SPRM mempunyai RM20 juta dalam beberapa akaun banknya dan gagal menjawab dari mana beliau memperolehi wang berkenaan.

Portal itu yang memetik sumber SPRM mendakwa, suruhanjaya tersebut akan membuat beberapa pendedahan lagi dalam masa terdekat.

Portal itu juga mendakwa sejak enam bulan lalu, SPRM menjalankan siasatan terhadap 60 pegawai polis yang disyaki terlibat dalam rasuah.

Sementara itu, SPRM menafikan mengeluar kenyataan kepada portal tersebut berhubung kes rasuah dan siasatan ke atas pegawai berkenaan.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafa Ali berkata, pihak media serta masyarakat diharap tidak mengambil maklumat daripada sumber yang bukan kenyataan rasmi SPRM.

"Jika ada, SPRM akan keluarkan kenyataan rasmi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment