My Add

Tuesday 25 February 2014

MCA perlu buktikan masih relevan

PUTRAJAYA, ISNIN, 24 Februari, 2014: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengalu-alukan keputusan MCA menyertai semula Kabinet, namun parti itu perlu menunjukkan bahawa mereka masih relevan dalam kalangan masyarakat Cina.

Ahmad Zahid berkata, pemimpin dan jentera MCA antaranya perlu menunjukkan mereka dapat memperoleh kembali sokongan pengundi keturunan Cina terhadap calon MCA dan Barisan Nasional (BN) termasuk dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

“MCA perlu buktikan bahawa calon mereka mendapat sokongan daripada pengundi pelbagai kaum di Kajang.

“Pengundi Cina khususnya harus buktikan mereka menyokong semula MCA, supaya mereka dapat diwakili di dalam kerajaan.

“BN melalui Datin Paduka Chew Mei Fun pasti akan dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pengundi Kajang, walaupun BN akan kekal sebagai pembangkang di Selangor jika menang di Kajang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 434 warga Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

MCA dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) parti itu semalam memutuskan mahu menerima semula jawatan dalam Kabinet.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, masyarakat Cina mesti diwakili dalam kerajaan dan badan-badan kerajaan lain termasuk sebagai ahli majlis di peringkat pihak berkuasa tempatan.

“Keputusan terdahulu (untuk tidak menyertai Kabinet) mungkin sesuai dengan keadaan satu ketika dahulu, tetapi keputusan EGM semalam adalah keputusan terkini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment