My Add

Wednesday 26 February 2014

26 lagi lokasi rondaan ditambah

Oleh NORHIDAYU MOHD. HASSAN

 *AYUB Yaakub (tengah) dan William Stevenson (tiga dari kanan) bersalaman selepas taklimat Penyelarasan Rondaan Bersama PDRM-ATM di Maktab PDRM Cheras, dekat Kuala Lumpur, semalam. - utusan/WAHIDAH ZAINAL
KUALA LUMPUR, SELASA, 25 Februari, 2014: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menambah 26 lagi lokasi rondaan cegah jenayah bersama di seluruh negara dalam masa terdekat.

Pertambahan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kawasan rondaan cegah jenayah bersama antara dua pasukan keselamatan itu kepada 70 lokasi.

Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah PDRM, Datuk Ayub Yaakob berkata, pertambahan itu dilihat relevan selepas impak positif yang diperoleh hasil daripada rondaan di 44 lokasi sebelum ini.

Ini kerana, kata beliau, sejak rondaan bersama di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu diwujudkan, indeks jenayah di lokasi-lokasi terlibat menunjukkan penurunan yang ketara.

"Pada 2010, kes jenayah yang dilaporkan di kawasan rondaan yang terlibat di seluruh negara berjumlah 23,932 kes.

"Jumlah itu berkurang kepada 20,406 kes pada 2011, 18,809 kes (2012) dan 16,478 kes (2013).

"Kejayaan itu dilihat selaras dengan sasaran PDRM untuk mengurangkan indeks jenayah sebanyak lima peratus setahun, selain meningkatkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Ketua Eksekutif Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Midas), Leftenan Jeneral Datuk Dr. William R. Stevenson selepas taklimat Penyelarasan Rondaan Bersama PDRM-ATM di Maktab PDRM Cheras di sini hari ini.

Menurut Ayub, pihaknya yakin kerjasama yang ditunjukkan oleh kedua-dua agensi penguatkuasa jelas dapat meningkatkan tahap keselamatan serta keamanan negara.

Sementara itu, William R. Stevenson pula berkata, kerjasama itu tidak menjejaskan peranan utama pasukan ATM dalam mempertahankan kedaulatan negara.

"Saya percaya penglibatan ATM dalam kerjasama seumpama ini dapat memantapkan lagi hubungan dengan masyarakat dan kerjasama antara dua pasukan keselamatan," jelasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment