My Add

Tuesday 25 February 2014

Buat pilihan bijak, pilih Mei Fun

PUTRAJAYA, ISNIN, 24 Februari, 2014: Para pengundi perlu bertindak bijak dengan memilih calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Mei Fun adalah seorang yang berwibawa, mempunyai pengalaman luas serta sudah biasa berurusan dengan kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, selain mudah mesra dan disenangi ramai, Naib Presiden MCA itu juga tidak mempunyai tanggungjawab lain, berbanding calon pakatan pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh.

"Pengundi perlu bijak dalam memilih calon, Mei Fun adalah anak Selangor manakala Anwar melompat ke Kajang semata-mata mahu menjadi Menteri Besar. Jika Mei Fun menang saya percaya beliau akan menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah.

"Perlu diingatkan bahawa pengundi di DUN Kajang memerlukan pemimpin yang boleh dijadikan tempat untuk mengadu, bukannya yang hanya tunjuk muka ketika ingin memenangi hati rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pelarasan antara Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan Exco-exco Luar Bandar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment