My Add

Friday 28 February 2014

Jangan cari untung melampau

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

 * MUHYIDDIN Yassin mendengar penerangan daripada Hasan Malek mengenai tanda harga selepas melancarkan Gerakan Pematuhan Tanda Harga di Pasar Presint 8, Putrajaya, semalam. Turut hadir Ahmad Bashah Md Hanipah (kiri) dan Alias Ahmad (tiga, kiri). - BERNAMA
PUTRAJAYA, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana peniaga yang mencari keuntungan melampau sehingga sanggup mengingkari peraturan perniagaan.

Sehubungan itu katanya, kerajaan akan terus memantau secara langsung tindakan para peniaga yang menggunakan pelbagai taktik bagi memanipulasi kos serta harga barangan dalam pasaran termasuk aktiviti-aktiviti anti persaingan seperti amalan monopoli dan kartel.

Beliau berkata, aktiviti anti persaingan merupakan amalan tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan terhadap keadaan pasaran sehingga menyumbang kepada kenaikan kos barangan serta perkhidmatan yang akhirnya membebankan rakyat khususnya pengguna.

"Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah mendenda 26 syarikat pengeluar ais pada 20 Februari lalu kerana melanggar Akta Persaingan 2010 atas kesalahan bersekongkol menetapkan jualan ais tiub dan ais blok

"MyCC pada tahun lalu juga telah mengambil tindakan serupa terhadap Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia Bhd. di bawah Akta Persaingan 2010 kerana berpakat untuk menetapkan harga tiket. Saya difahamkan masing-masing didenda sebanyak RM10 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Gerakan Pematuhan Tanda Harga yang bertujuan mendidik para peniaga supaya mematuhi undang-undang berkaitan penandaan harga di Pasar Presint 8 di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek; timbalannya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Ketua Setiausaha kementeriannya, Datuk Seri Alias Ahmad.

Muhyiddin berkata, perlanggaran Akta Persaingan merupakan satu perbuatan yang amat menyalahi undang-undang negara.

"Saya ingin ucapkan tahniah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan MyCC kerana telah bertindak tegas terhadap 26 syarikat ais tersebut," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, berdasarkan pemerhatiannya sewaktu Ops Harga dilaksanakan bermula Julai 2013 sehingga sekarang, kerajaan mengenal pasti isu kenaikan kos berpunca daripada amalan-amalan tidak bertanggungjawab oleh pelbagai pihak.

"Antara perkara yang sering berlaku adalah sebilangan besar peniaga kurang mengambil berat malah memandang remeh akan tanggungjawab mereka mempamerkan tanda harga dengan sempurna," ujarnya.

Malah, beliau berkata, di dalam beberapa lawatan mengejutnya, ada peniaga dan peruncit yang tidak mematuhi peraturan dan garis panduan terutama dalam mempamerkan tanda harga bagi barangan dan jualan mereka.

"Oleh itu, untuk menimbulkan kesedaran yang tinggi selain memperkasa amalan perniagaan yang murni dan dalam masa sama menyampaikan mesej keseriusan kerajaan melindungi kepentingan semua pihak, kerajaan melancarkan Gerakan Pematuhan Tanda Harga bermula bulan ini hingga Julai depan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment