My Add

Friday 28 February 2014

Langkah proaktif pastikan rakyat nikmati kemakmuran ekonomi

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan mengambil langkah proaktif untuk memastikan rakyat dapat menikmati kemakmuran ekonomi dengan adil dan saksama terutama melalui pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) hasil penjimatan subsidi petrol.

Perdana Menteri berkata, ternyata BR1M dan langkah-langkah rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan sekarang akan memberi lebih manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.

Katanya, subsidi petrol yang merupakan subsidi pukal sebenarnya menguntungkan orang tanpa mengira tahap pendapatan yang lebih menjurus kepada pembaziran dan ketirisan.

"Bandingkan manfaat yang diterima oleh seorang pemilik kereta berkuasa rendah dengan seorang pemilik kereta mewah. Dengan subsidi petrol RON95 sebanyak 63 sen bagi setiap liter, seorang pemilik kereta Kancil diandaikan membuat perjalanan sejauh 50 kilometer sehari atau 350 kilometer seminggu.

"Beliau akan menggunakan 30 liter petrol seminggu atau 120 liter petrol sebulan. Maka, beliau hanya menikmati subsidi petrol sebanyak RM19 seminggu, RM76 sebulan dan RM900 setahun," katanya dalam entri terbaharu bertajuk BR1M 2014: fakta yang anda perlu tahu di laman blog www.1malaysia.com hari ini.

Najib kemudian membandingkan subsidi petrol yang diterima mereka yang berpendapatan tinggi yang menggunakan kereta mewah berkapasiti 2,500 cc yang akan menggunakan sekurang-kurangnya 80 liter petrol seminggu bernilai RM50 atau 320 liter petrol sebulan dengan jumlah RM200.

"Dalam setahun individu tersebut akan menikmati subsidi berjumlah RM2,400, jauh lebih banyak daripada pemilik kereta Kancil yang lebih layak menerima subsidi. Jelaslah bahawa struktur subsidi petrol sedia ada lebih menguntungkan golongan berkemampuan, termasuk pelancong luar dan warga asing," katanya.

Dalam pada itu, Najib turut memuji tindakan 17,000 penerima BR1M 2014 yang menolak secara sukarela apabila tahap pendapatan mereka melebihi julat yang ditetapkan.

"Contohnya, saudara Nurikram Bahari dari Parit Buntar, Perak yang menerima BR1M sejak tahun 2011 sewaktu beliau masih bujang. Kini, Nurikram telah berkeluarga dan pendapatan bulanan beliau dan isteri telahpun melebihi RM4,000 (had kelayakan menerima BR1M). Jadi, Nurikram merasakan bantuan tersebut seharusnya diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan.

"Saya hargai ketelusan yang ditunjukkan oleh rakyat seperti Nurikram dan berharap ia dicontohi, agar bantuan jadi lebih bersasar dan tepat," katanya.

Najib berkata, BR1M diberikan atas semangat untuk membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup dengan lebih efektif, malah turut membantu pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan.

"Untuk sebilangan orang, saya akui jumlah BR1M tidak mencukupi namun bagi saudara Foo Kok Lim dari Taman Maluri, yang merupakan salah seorang penerima BR1M di Kampung Pandan Sabtu lepas, wang ini benar-benar membantu. Khususnya bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau stabil," katanya.

Najib berkata, BR1M diberikan atas semangat untuk membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup dengan lebih efektif dan bukan sahaja membantu golongan sasaran malah turut membantu pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan.

"Jaringan kedai runcit di luar bandar turut menerima manfaat dari bantuan tunai ini. Malah, sektor swasta juga menyaksikan perkembangan 7.7 dan 7.6 peratus, masing-masing pada tahun 2012 dan 2013," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment