My Add

Wednesday 26 February 2014

Laman web promosi ASEAN-India dilancar

 * REBECA Fatima Sta Maria (tengah) bersama Ramesh Kodamal (kanan) dan TS Tirumurti (kiri) pada majlis pelancaran Portal Kemudahan Perniagaan di Royal Lake Club, Kuala Lumpur semalam. - utusan/Kamal Basir
KUALA LUMPUR, SELASA, 25 Februari, 2014: Majlis Perniagaan ASEAN-India (AIBC) telah melancarkan laman web khas kepada peniaga-peniaga kecil dan sederhana (PKS) tempatan dan keseluruhan Asia Tenggara untuk mengetahui perkembangan terkini potensi dan cabaran perniagaan di negara Asia Selatan itu.

Pengerusi Bersama AIBC, Datuk Ramesh Kodamal berkata, menerusi laman web itu, para peniaga boleh mengikuti dasar terbaharu, rakan niaga, berkongsi maklumat, serta mengetahui cara-cara memulakan perniagaan di India atau ASEAN.

Kata beliau, usaha terbaharu ini boleh mengalakkan lagi aktiviti perniagaan antara India dan ASEAN yang mana kedua-dua rantau itu menjanjikan saiz pasaran hampir 2 bilion penduduk.

"Laman web ini sedikit sebanyak menjadi faktor yang membantu sasaran perdagangan dua hala India-ASEAN mencecah AS$100 bilion (RM330 bilion) menjelang 2015," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran laman web itu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Dr. Rebecca Fatima Sta Maria dan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, TS Tirumurti.

India merupakan rakan dagang ke-10 terbesar Malaysia bagi 2013 dengan nilainya mencecah RM42.12 bilion. Daripada jumlah itu, import bernilai RM16.38 bilion sementara eksport negara ke sana berjumlah RM25.74 bilion.

Produk eksport utama negara ialah minyak sawit, peralatan pengangkutan serta produk elektrik dan elektronik.

Sementara itu, Tirumurti berkata, pengenalan laman web itu menjadi pelengkap kepada kedua-dua pihak ketika ekonomi India kini lebih terbuka kepada penyertaan asing.

Beliau merujuk kepada sektor penerbangan yang mana syarikat bukan utama seperti Malindo Air dan AirAsia mudah diterima masuk ke pasaran India. Beliau juga merujuk kepada negaranya yang mempunyai kapasiti tinggi terhadap sektor teknologi dan maklumat. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment