My Add

Thursday 27 February 2014

Satu rahmat, namun sudah terlewat

Oleh AQILAH MIOR KAMARULBAID

KUALA LUMPUR, RABU, 26 Februari, 2014: Persatuan Pengguna Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (Swan) menyambut baik perjanjian pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2, namun terkilan dengan sikap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berdolak-dalik untuk memberi kelulusan sejak empat tahun lalu.

Presidennya, Aldric Loong Kim Yew berkata, jika pembinaan loji itu disegerakan, sudah tentu masalah bekalan air dapat dielakkan kerana rizab bekalannya mampu menampung permintaan khususnya ketika krisis.

"Walaupun keputusan itu satu rahmat, namun sudah terlambat. Jika loji itu dibina sejak empat atau enam tahun lalu, sudah tentu rakyat tidak menderita seperti hari ini.

"Kita sudah banyak kali beri peringatan kepada kerajaan negeri, malah peringatan kali kedua pada 2010 pun tidak diendahkan dan situasi semasa yang getir menyebabkan mereka akhirnya akur dan mula menyedari kepentingan Langat 2," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang mengeluarkan arahan pembangunan untuk membenarkan kerajaan Pusat membina Langat 2 dan sistem agihannya berkuatkuasa hari ini.

Kelulusan tersebut sejajar dengan perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kerajaan Pusat dan Selangor berhubung penstrukturan semula industri bekalan air di negeri itu.

Sementara itu, Kim Yew berkata, pembinaan Langat 2 diyakini dapat menampung permintaan pengguna sekurang-kurangnya untuk tempoh 10 tahun.

Katanya, Langat 2 adalah pilihan terbaik daripada segi kewangan, teknikal dan sosial bagi memastikan pengguna di Lembah Klang mendapat bekalan air yang mencukupi sehingga tempoh tersebut.

"Kapasiti loji yang lebih besar mampu menampung 1,200 juta liter air sehari sekali gus dapat mengatasi peningkatan permintaan air terawat di kawasan terbabit," katanya.

Mengulas isu yang sama, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran berkata, kerajaan PKR Selangor tidak sepatutnya mengambil risiko melengahkan pembinaan loji tersebut berikutan faktor cuaca yang tidak menentu.

Katanya, kerajaan negeri itu sepatutnya mengambil kira faktor keselamatan dalam perancangan yang membabitkan keperluan rakyat termasuk pembinaan Langat 2.

"Jabatan Meteorologi pun mengatakan sukar untuk meramal cuaca di Malaysia. Maka, ketidaktentuan itu boleh mengugat penggunaan air dan para pemimpin tidak sepatutnya mengambil risiko yang akhirnya menyukarkan rakyat," tegasnya.

Mengenai catuan air yang dicadangkan Abdul Khalid, beliau berkata, kaedah itu merupakan alternatif terakhir namun bukanlah yang terbaik kerana tidak semua kawasan akan menerima air pada tekanan tinggi.

"Kawasan-kawasan pedalaman akan ada masalah sama ada air yang diterima bertekanan rendah atau langsung tiada air," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment