My Add

Tuesday 25 February 2014

Parti Komunis Malaya mahu kuasai negara dalam tiga fasa

KUALA LUMPUR, ISNIN, 24 Februari, 2014: Matlamat utama pemberontakan bersenjata yang dicetuskan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1948 adalah untuk membentuk sebuah negara komunis yang dikenali sebagai Republik Rakyat Malaya.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor berkata, Perlembagaan PKM sendiri tidak pernah menyebut tentang tentang perjuangan memerdekakan negara daripada penjajahan British.

Malah menurut beliau, PKM secara terbuka menggariskan tiga fasa yang perlu dilalui bagi mencapai matlamat tersebut walau dengan apa cara sekali pun.

"Fasa pertama adalah melalui rampasan kuasa. Bukan melalui proses pilihan raya tetapi melalui kekuatan bersenjata dengan kaum proletariat iaitu golongan buruh dan petani menjadi penentunya.

"Musuh-musuh komunis adalah golongan bangsawan atau borjuis, sesiapa yang menentang akan dihapuskan tanpa mengira sama ada yang berdarah raja atau puak-puak kanan yang tidak sehaluan," katanya dalam rancangan Bicara Negara yang dikendalikan pengacara, Sayed Munawar Sayed Mustar di TV1 malam ini.

Tambah Abdul Rahim, pada fasa kedua, PKM merancang melaksanakan dasar sosialisme di mana setiap aset termasuk tanah rizab Melayu akan dijadikan sebagai milik negara selain menghapuskan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Pada fasa ketiga, jelas beliau, PKM berhasrat mewujudkan masyarakat yang dinamakan sebagai 'manusia komunis' yang pada asasnya tidak mempercayai tuhan.

"Tidak timbul soal Melayu atau Cina kerana semuanya adalah komunis. Pada peringkat itu, syurga adalah di dunia seperti yang diajar oleh Karl Marx," ujarnya.

Abdul Rahim memberitahu, tidak mustahil negara ini dilanda pelbagai bencana termasuk kebuluran sekiranya PKM berjaya selepas setahun melancarkan pemberontakan bersenjata.

"Kajian terkini menunjukkan kira-kira 42 juta rakyat China mati akibat kebuluran selepas Parti Komunis China di bawah Mao Zedong memerintah negara itu," jelasnya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, PKM gagal mencapai matlamatnya berikutan kejayaan kerajaan memastikan kestabilan politik di negara ini selepas merdeka.

Menurut beliau, faktor-faktor lain yang menyumbang adalah kekuatan angkatan tentera dan pasukan polis serta keberkesanan kegiatan risikan yang dijalankan Cawangan Khas dalam memastikan PKM tidak dapat bertapak di negara ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment