My Add

Wednesday 26 February 2014

Jangan beri publisiti pelampau - Najib

Oleh KAMIL MASLIH

 * NAJIB Tun Razak bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Menteri Besar Perlis, Azlan Man (dua, kanan) dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (kanan) selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-120 di Bilik Mesyuarat Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, SELASA, 25 Februari, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan semua pihak tidak seharusnya menggalakkan penyebaran laporan mengenai tindakan kumpulan atau organisasi pelampau yang berkecenderungan menghancurkan kepercayaan antara kaum-kaum di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, sekiranya golongan kumpulan pelampau berkenaan tidak diberikan publisiti, golongan itu tidak mendapat perhatian yang mereka ingini dan mereka tidak akan dapat menarik orang lain kepada mereka.

"Anda tahu bahawa apa yang mereka lakukan atau katakan di laman-laman media sosial ternyata salah, jadi mengapa harus kita kongsi pendapat-pendapat sebegitu (dalam) online. Jika kita mahu mengekalkan keharmonian dalam negara kita ini, jangan biarkan penghasut-penghasut ini menguasai kita.

"Lebih baik lagi, janganlah kita cepat menyebarkan insiden-insiden ini kerana itu sudah pasti akan menyebabkan ketakutan dan kebencian. Janganlah kita berikan pihak pelampau ini publisiti yang mereka idamkan," katanya dalam catatan blog beliau www.1malaysia.com.my.

Najib menekankan bahawa sekiranya semua orang bersatu sebagai rakyat Malaysia, pihak pelampau tidak akan ada daya tarikan, tidak kira siapa mereka dan apa yang mereka lakukan.

"Hancurkanlah mereka dengan kepercayaan terhadap diri sendiri dan terhadap rakan-rakan anda, segenap lapisan masyarakat yang menjadi rakyat Malaysia," gesa Najib.

Dalam laman blog itu, Najib memberitahu, Rancangan Rekonsiliasi Nasional yang akan diumum dan dilaksanakan dalam tempoh beberapa bulan lagi, akan membantu memberi inspirasi kepada rakyat untuk saling hormat menghormati, dan kembali berhubung sesama mereka agar dapat menjadikan Malaysia negara yang lebih baik untuk semua.

Katanya, rancangan itu bertujuan mencipta persekitaran yang kondusif dan menggalakkan rekonsiliasi nasional melalui perpaduan dan kosensus di seluruh negara.

"Rancangan Rekonsiliasi Nasional ini berlandaskan prinsip hormat-menghormati, bekerja dan bergembira bersama, serta semangat bertolak-ansur. Ini seharusnya menjadi teras kepada apa juga yang kita lakukan," katanya.

Sebagai permulaan, katanya, kerajaan mahu rakyat untuk mula berkongsi cerita-cerita berkaitan sikap berbuat baik antara kaum dan ini termasuk dalam media arus perdana, media online dan media sosial.

"Sebagai contoh, berkongsi gambar seorang anggota polis berketurunan Melayu yang sedang membantu seorang wanita tua kaum Cina melintas jalan akan dapat memupuk semula apa yang kita memang tahu tapi semakin kita lupakan, bahawa kita adalah sebahagian daripada sebuah keluarga Malaysia," kata Najib.

Najib menarik perhatian bahawa Rekonsiliasi Nasional ini bukan hanya milik kerajaan semata-mata kerana era ini bukan lagi era 'kerajaan lebih mengetahui'.

Jelas beliau, konsep tersebut adalah milik rakyat, maka setiap rakyat Malaysia harus memainkan peranan sekiranya mahukan kedamaian dan keharmonian.

"Datuk nenek kita memahami semua ini dan mengamalkan budaya ini selama berdekad-dekad, namun kita pula nampaknya semakin melupakannya hari ini.

"Sekiranya anda mahukan sebuah negara yang lebih baik, sekiranya anda mahu kembalikan kepercayaan terhadap satu sama lain, maka ambillah langkah-langkah yang perlu untuk mencapainya.

"Sebaik saja anda bertindak, sebarang kata-kata atau sebarang permintaan yang tidak masuk akal daripada pihak pelampau ini tidak akan membawa sebarang makna, kerana anda tahu perasaan anda, perasaan jiran-jiran anda dan seterusnya perasaan majoriti rakyat Malaysia," kata Perdana Menteri. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment