My Add

Tuesday 25 February 2014

Caj rawatan warga asing

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN

* DR. S. Subramaniam bersama Dr. Hilmi Yahaya (kiri), Farida Mohd. Ali (tengah), Dr. Noor Hisham Abdullah (kanan) dan Dr. Lokman Hakim Sulaiman (dua dari kiri) menunjukkan Logo Kementerian Kesihatan Malaysia yang baharu selepas majlis perhimpunan bulanan dan pelancaran logo tersebut di Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA, ISNIN, 24 Februari, 2014: Semua warga asing akan dikenakan caj rawatan mengikut kadar sebenar apabila mendapatkan perkhidmatan perubatan di klinik dan hospital kerajaan seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, langkah yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat itu dapat menjimatkan perbelanjaan perubatan negara sehingga RM100 juta setahun.

"Buat masa ini, warga asing yang bekerja di sini menikmati subsidi kos antara 30 hingga 40 peratus berbanding kos rawatan sebenar,'' katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan perhimpunan bulanan kementerian tersebut di sini hari ini.

Menurut beliau, kementerian akan mengemukakan perkara itu kepada Kabinet untuk diluluskan.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Farida Mohd. Ali, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman.

Dalam majlis sama, Dr. Subramaniam turut melancarkan penggunaan logo baharu Kementerian Kesihatan.

Sementara itu katanya, tiada perubahan caj rawatan yang akan dikenakan kepada rakyat tempatan di klinik dan hospital kerajaan di seluruh negara.

"Mereka akan terus menikmati subsidi kos rawatan sehingga 98 peratus yang diberikan kerajaan selama ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementerian menerima peruntukan sebanyak RM22 bilion melalui Bajet 2014 untuk perbelanjaan operasi dan pembangunan dalam sektor kesihatan.

Jelasnya, 10 peratus daripada jumlah tersebut digunakan untuk aktiviti promosi dan selebihnya urusan perbelanjaan dalam kegiatan utama sektor kesihatan.

"Pada masa sama, RM1.9 bilion daripada jumlah peruntukan itu akan digunakan untuk pembangunan infrastruktur.

"Kementerian juga sedang menyelesaikan masalah yang dihadapi beberapa hospital secara berperingkat kerana perkara itu tidak dapat dilakukan sekali gus," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment