My Add

Tuesday 25 February 2014

Perbicaraan kes pasangan Malaysia: Aishah nafi ibu pukul mereka

STOCKHOLM, ISNIN, 24 Februari, 2014: Perbicaraan kes pasangan Malaysia yang didakwa memukul anak-anak mereka di Sweden boleh dikatakan beralih arah apabila anak sulung pasangan terbabit menafikan bahawa dia dipukul sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Aishah memberitahu, ibunya, Shalwati Nor Shal berhenti memukul mereka adik-beradik selepas diberi amaran oleh kaunselor Sekolah Antarabangsa Stockholm bahawa perbuatan sedemikian tidak dibenarkan di Sweden.

Sweden telah mengharamkan hukuman membabitkan fizikal seperti rotan sejak 1979 dan sesiapa yang didapati bersalah melanggar undang-undang terbabit boleh dipenjara sehingga enam tahun.

"Kira-kira dua tahun lalu (2012), seorang guru telah memanggil ibu ke sekolah selepas Adam mengadu telah dipukul di rumah. Selepas pertemuan dengan guru terbabit, ibu kelihatan sedih dan tidak pernah lagi memukul kami walaupun marah," kata Aishah.

Remaja itu turut menjelaskan bahawa ibu mereka agak tegas dengan Adam kerana anak ketiga pasangan itu mempunyai kesukaran dalam pembelajaran.

Shalwati dan Azizul Raheem Awalludin yang merupakan Pengarah Tourism Malaysia di Sweden ditahan sejak 18 Disember tahun lalu selepas Ammar memaklumkan kepada seorang kakitangan sekolahnya bahawa dia telah dipukul, menyebabkan satu laporan polis telah dibuat kepada pihak berkuasa tempatan.

Dalam beberapa siri temu bual yang dirakam di antara Disember 2013 dan Januari lalu, Aishah sering dilihat memakai jaket besar dan dia akan mengibarkan jaket itu apabila kurang pasti bagaimana hendak memberikan jawapan.

Ketika ditanya adakah dia sering dipukul, Aishah mengatakan kurang daripada 15 kali setahun tetapi sering dipukul lebih empat tahun lalu iaitu ketika keluarga terbabit tinggal di Afrika Selatan.

Apabila anggota polis wanita bertanya kepadanya contoh insiden Shalwati memukulnya, Aishah kelihatan teragak-agak dan menyatakan: "Perlukah saya beritahu. Ia agak peribadi."

Remaja berusia 15 tahu itu kemudian menutup wajahnya dengan lengan jaket yang dipakai dan mula menangis menyebabkan anggota polis terbabit bertanyakan sebab Aishah menangis.

"Saya menangis sebab ibu saya boleh dimasukkan ke penjara sebab dia rotan kami walaupun tidak dibenarkan di sini," ujar Aishah.

Dalam satu temu bual lain, Aishah mendedahkan bahawa dia mempunyai tabiat buruk iaitu mencuri coklat dan kek yang menyebabkan ibunya memukulnya.

"Ia akan berlaku hampir setiap bulan atau setiap kali ibu bapa saya membawa pulang coklat. Kalau mereka bawa pulang coklat ke rumah, saya akan makan dan ibu akan pukul," katanya yang turut memberitahu ayahnya hanya akan memarahinya.

Aishah menyatakan, ayahnya tidak pernah memukulnya kerana kaum lelaki pukul dengan kuat.

"Kalau si ayah memukul anak, bukankah mereka (si anak) akan berdarah sehingga boleh mati. Saya lebih rela dia (Azizul Raheem) tidak berbuat demikian," katanya.

Pada 10 Februari lalu, Shalwati dan Azizul Raheem didakwa atas pelbagai pertuduhan mencabul integriti kanak-kanak dengan cara memukul dan mendera anak-anak mereka.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di kediaman mereka di SpÄnga, di pinggir bandar Stockholm di antara 15 September 2010 dan 17 Disember 2013.

Sementara itu anak lelaki sulung pasangan itu, Ammar berkata, dia merasakan yang ibu bapanya akan didapati bersalah dan akan dimasukkan ke penjara.

Namun apabila ditanya menge nai masa hadapannya sendiri, Ammar, 12, menjawab apa yang dia boleh fikirkan sekarang ialah hendak memeluk ibu bapanya semula.

"Mereka akan dipenjara, saya tidak tahu untuk berapa hari atau berapa bulan tetapi saya merasakan mereka akan pergi ke penjara yang sebenar. Apabila mereka dibebaskan, saya boleh jumpa mereka semula," ujar Ammar dalam rakaman kelimanya yang ditunjukkan di Mahkamah Daerah Solna hari ini. - THE STAR/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment