My Add

Thursday 27 February 2014

Krisis air: Ambil iktibar persetujuan MB Selangor

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN

PETALING JAYA, RABU, 27 Februari, 2014: Kerajaan negeri yang ditadbir pakatan pembangkang seharusnya mengambil iktibar persetujuan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terhadap projek Loji Air Langat 2 dengan kerajaan Pusat semalam.

Ketua Pemuda parti Gerakan, Tan Keng Liang berkata, walaupun terlewat lima tahun, persetujuan Abdul Khalid dengan projek berkenaan membolehkan satu usaha untuk kepentingan rakyat diteruskan.

"Kita seharusnya mengetepikan hal-hal politik buat sementara waktu jika ia melibatkan kepentingan rakyat.

"Projek Langat 2 membolehkan bekalan air lebih banyak dan baik kepada keseluruhan penduduk Lembah Klang, namun 'kedegilan' pakatan pembangkang agak menyusahkan kita sekarang.

"Pemuda Gerakan menyanjung usaha Tan Sri Khalid yang akhirnya bersetuju untuk menandatangani perjanjian persefahaman projek Loji Langat 2 yang telah dicadangkan kerajaan pusat sebelum 2008 lagi. Kami ucapkan tahniah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum berkenaan krisis bekalan air di Selangor kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Menurut Keng Liang lagi, memorandum itu diserahkan kepada Anwar bagi membolehkan ketua pembangkang itu mengambil iktibar terhadap usaha yang dijalankan kerajaan pusat terhadap kepentingan rakyat.

"Kami berharap Datuk Seri Anwar dapat menjadikan usaha Tan Sri Abdul Khalid sebagai contoh kepada negeri-negeri pakatan pembangkang yang lain agar tidak mempolitikkan hal-hal yang membabitkan kepentingan rakyat," katanya. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment