My Add

Thursday 27 February 2014

Elak beri pandangan tidak berasas - Zahid

 * AHMAD Zahid Hamidi (tengah), Abdul Rahim Mohamad Radzi (dua dari kiri) dan Mohamad Khalid Sharif (dua dari kanan) ketika hadir Majlis Makan Malam Apresiasi KDN di Putrajaya, malam semalam.
PUTRAJAYA, RABU, 26 Februari, 2014: Pesara kerajaan perlu mengelak daripada memberi pandangan tidak berasas yang boleh menggugat keamanan negara dalam laman sosial.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka perlu membuat penilaian dan kajian terlebih dahulu sebelum memberikan pandangan bagi mengelak daripada memberikan maklumat yang tidak tepat.

"Sebagai pesara kita perlu matang dan bijak menguruskan idea serta pendapat terutamanya di media dalam talian.

"Kebebasan internet pada masa ini membolehkan penggunanya melontarkan apa sahaja bentuk pandangan, kaedah penyampaian dan nada bahasa. Ada yang berguna namun ada juga kesan negatif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Apresiasi Kementerian Dalam Negeri di sebuah hotel di sini malam tadi.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohamad Khalid Sharif dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.

Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid mengingatkan pengguna internet agar tidak menjadikan forum di laman web sebagai medan untuk menyalakan api permusuhan.

"Terma keyboard warrior yang menjadi jolokan telah dimanipulasi sehingga tidak ubah seperti hantu 'keyboard' kerana sifat baling batu sembunyi tangan," katanya.

Sementara itu, beliau melihat golongan pesara merupakan aset pemikir berdasarkan pengalaman mereka di dalam organisasi.

Sehubungan itu beliau berkata, pengalaman berkenaan perlu dikongsi dengan generasi baharu.

"Saya percaya sulaman pengalaman dan tenaga serta idea baharu boleh membentuk pentadbiran organisasi yang lebih berkesan.

"Pintu kementerian ini sentiasa terbuka untuk sesiapa sahaja termasuklah pesara memberikan idea dan pandangan kepada kita serta mengikuti perkembangan KDN dari semasa ke semasa," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment