My Add

Friday 28 February 2014

Perangi ketidaksaksamaan

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

 * NAJIB Tun Razak melihat model bangunan Unitar selepas merasmikan kampus baharu Universiti Antarabangsa Unitar di Kelana Jaya, Selangor, semalam. Turut kelihatan, Idris Jusoh (tiga dari kiri), Mohamed Nizam Tun Razak (dua dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Unitar, Wan Ahmad Saifuddin Wan Ahmad Radzi dan Pengerusi Unitar, Datuk Seri Suleiman Mohamed (kiri).
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Kerajaan memberi jaminan akan terus memerangi situasi pendapatan dan peluang kepada rakyat yang tidak saksama dan seimbang bagi membolehkan perpaduan nasional dicapai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, di sebalik pertumbuhan pendapatan dan ekonomi yang memberangsangkan, negara masih berdepan dengan cabaran terbabit.

"Sesetengah daripada kita kaya manakala ramai lagi masih bergelut untuk hidup. Salah satu punca pendapatan yang tidak seimbang adalah ketidaksaksamaan dalam mendapatkan peluang.

"Situasi ini jika dibiarkan, jurangnya akan bertambah lebar. Malah, ini akan menyebabkan perpaduan nasional yang tulen sukar untuk dicapai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan kampus baharu Universiti Antarabangsa Unitar (Unitar) di Kelana Jaya dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Canselor Unitar, Datuk Mohamed Nizam Tun Razak.

Najib memberitahu, selain itu, kerajaan juga sentiasa menggalakkan soal pendidikan yang merupakan alat untuk memerangi kemiskinan serta cabaran-cabaran berkenaan.

"Pada 1959, ketika Universiti Malaya (UM) menerima kemasukan penuntut sulungnya, cuma ada 300 orang yang mendapat pendidikan tinggi di negara ini. Pada 1967 pula, bilangan ini meningkat kepada 4,500 orang.

"Dengan peningkatan peluang pendidikan, dianggarkan satu daripada empat rakyat Malaysia berusia 18 hingga 24 tahun berpeluang mendapatkan pengajian tinggi. Untuk itu, kita akan sentiasa meningkatkan peluang pendidikan di setiap tahap pendidikan," jelas beliau.

Beliau berkata, pendidikan mampu meningkatkan kejayaan terutama bagi mereka yang dilahirkan dalam keadaan kurang bernasib baik.

"Dengan pendidikan juga, sosioekonomi masyarakat dapat ditingkatkan. Hari ini, kita lihat ramai anak-anak nelayan, penoreh getah dan petani pulang dengan kejayaan sebagai doktor, jurutera dan peguam," katanya.

Dalam pada itu, ketika bercakap mengenai Unitar, beliau berkata, perkembangan institusi pengajian tingi swasta (IPTS) itu amat berkait rapat dengan Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak Hussein.

"Sebagai pengasas kepada Dasar Pelajaran Kebangsaan dengan Laporan Razak 1956, itu adalah antara usaha perjuangan legasi Allahyarham kepada negara," ujarnya.

Beliau mahu Unitar terus maju berdasarkan tiga kriteria iaitu sebagai universiti yang melahirkan penuntut yang mendapat akses kepada pendidikan berkualiti; universiti virtual yang merupakan pelopor dalam bidang utama; serta sistem pendidikan yang memberi nilai kepada penuntutnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment