My Add

Friday 28 February 2014

Malaysia, Filipina setuju selesai pertikaian laut secara aman

PUTRAJAYA, JUMAAT, 28 Februari, 2014: Malaysia dan Filipina bersetuju menyelesaikan pertikaian mengenai Laut Filipina Barat dan Laut China Selatan secara aman dengan berlandaskan keluhuran undang-undang dan Konvensyen mengenai Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNCLOS), kata Presiden Filipina Benigno S. Aquino III.

Dalam sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini, Aquino berkata sebagai negara anggota Asean, Filipina dan Malaysia percaya potensi mereka untuk terus maju hanya boleh dicapai dalam konteks antarabangsa yang berpegang teguh kepada keluhuran undang-undang.

"Kami percaya, pematuhan kepada keluhuran undang-undang, musyawarah dan dialog secara jujur perlu dijadikan asas sekiranya kita ingin membina sebuah Asia Tenggara yang makmur dan aman, yang tidak meminggirkan mana-mana pihak," katanya.

Beliau berkata untuk menjamin wujudnya keselamatan berterusan, kedua-dua pemimpin telah mengkaji semula pelbagai aspek dalam hubungan pertahanan, terutama pertukaran pendidikan dan latihan antara pegawai tentera dan pertahanan serta kegiatan latihan bersama dan pertukaran hasil risikan.

Aquino, yang sedang melakukan lawatan rasmi dua hari ke ke sini, berkata kedua-dua negara akan menilai kemajuan yang dicapai oleh beberapa inisiatif dan kerjasama antara Malaysia dan Filipina dalam Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Filipina-Malaysia kelapan yang akan berlangsung tahun ini. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment