My Add

Thursday 27 February 2014

Kerajaan Selangor ambil alih 4 syarikat konsesi air

PUTRAJAYA, RABU, 26 Februari, 2014: Kerajaan Selangor akan mengambil alih empat syarikat konsesi air di negeri itu yang melibatkan kos berjumlah RM9.65 bilion berikutan penstrukturan semula industri bekalan air di negeri berkenaan.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pengambilalihan tersebut dilakukan secara pemilikan ekuiti dan akan dilaksanakan oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Beliau berkata, tawaran mengenai pengambilalihan itu akan bermula hari ini dan prosesnya pula berlangsung selama dua minggu.

"Secara ringkas dan dipersetujui oleh kerajaan Persekutuan, KDEB akan ditugaskan untuk melaksanakan penyusunan semula ini dengan menawarkan kepada pemilik-pemilik konsesi sejumlah RM9.65 bilion sebagai pampasan kepada penyusunan semula tersebut.

"Kita jangka tawaran pengambilalihan ini akan selesai dalam tempoh tiga bulan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili selepas menandatangani memorandum persefahaman penstrukturan semula industri bekalan air Selangor di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Empat syarikat konsesi air di Selangor yang terlibat dengan proses tersebut adalah Puncak Niaga Sdn. Bhd., Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd., Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash) dan Konsortium ABASS Sdn. Bhd.

Abdul Khalid berkata, kesemua syarikat itu akan diletakkan di bawah sebuah anak syarikat yang dimiliki 100 peratus oleh KDEB.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Khalid berkata, berikutan pengambilalihan itu dilakukan secara pemilikan ekuiti, kedudukan kakitangan dalam syarikat tersebut tidak akan terjejas.

"Saya ingin jelaskan disebabkan pengambilalihan secara pemilikan ekuiti iaitu saham-saham ditukar pemiliknya, semua tenaga kerja dalam syarikat berkenaan tidak akan berubah," ujarnya.

Abdul Khalid berkata, tujuan sebenar pengambilalihan itu dibuat adalah untuk memastikan pengurusan air di Selangor lebih efisien, sekali gus memastikan penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mendapat perkhidmatan air yang terbaik.

Selain itu, beliau turut memberi penekanan pentingnya mengurangkan masalah kadar kehilangan air tanpa hasil (NRW) yang pada masa ini mencatatkan 33 peratus.

"Di bawah penyusunan semula industri air di Selangor, kita berhasrat untuk mengurangkan masalah ini daripada 33 peratus kepada 20 peratus," ujarnya.

Dalam pada itu, kata beliau, Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan sebanyak RM900 juta bagi program mitigasi sebelum Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) siap sepenuhnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment