My Add

Friday 28 February 2014

Empat sahabat rentung kereta terbakar

KLANG, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Empat sahabat mati rentung selepas kereta jenis Perodua Myvi yang mereka naiki terbakar dalam kemalangan di hadapan Balai Polis Kapar di Batu 10, Jalan Kapar di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, seorang lagi rakan mereka terselamat selepas berjaya merangkak keluar dari kenderaan itu.

Difahamkan, sebelum terbakar, kereta itu dipercayai terbabas dan melanggar lampu isyarat serta tiang lampu seterusnya menghentam dinding sebuah kedai emas.

Mangsa yang maut ialah pemandu, Ang Chin Fu, 18; Lee Boon Huat, 19; Chong Chee Seng, 21, dan Chew Yee Ying, 19.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd. Shukor Sulong berkata, ketika kejadian, Perodua Myvi itu datang dari arah Klang menghala ke Kapar.

Menurutnya, hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati laluan di situ mempunyai tiga lorong dari kedua-dua arah, berlampu dan tidak hujan.

"Kita masih menjalankan siasatan lanjut dan tidak menolak kemungkinan kereta tersebut dipandu laju selain mereka dipercayai di bawah pengaruh alkohol," katanya di sini hari ini.

Tambah Mohd. Shukor, kesemua mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Pengangkutan Jalan.

Sementara itu, mangsa yang terselamat, Chai Chee Seng, 18, yang mendapat rawatan sebagai pesakit luar di HTAR memberitahu, dia diajak keluar minum oleh keempat-empat mangsa pada kira-kira pukul 1 pagi.

Jelasnya, dalam perjalanan pulang, kereta mereka terbabas lalu melanggar lampu isyarat seterusnya hilang kawalan sehingga merempuh sebuah kedai emas.

"Saya berjaya keluar dari kereta manakala empat lagi pengsan.

"Saya mahu menarik mereka keluar tetapi pintu tidak dapat dibuka dan kereta terus terbakar," jelasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment