My Add

Friday 28 February 2014

Pengawal keselamatan dipenjara, sebat rogol adik kandung

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 28 Februari, 2014: Seorang pengawal keselamatan hari ini dihukum penjara 16 tahun dan dikenakan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan merogol adik kandungnya dua minggu lalu.

Hakim Manira Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berumur 28 tahun dan memerintahkannya menjalani hukuman itu secara berturut-turut bermula hari ini.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan itu.

Ketika menjatuhkan hukuman, Manira menasihati tertuduh agar bertaubat dan insaf dengan perbuatannya itu.

Tertuduh didakwa merogol adik perempuannya yang berumur 22 tahun di rumah mereka di sini pada 8 pagi, 14 dan 16 Februari lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 10 kali sebatan.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan kerana dia perlu menanggung ibu dan adik beradiknya yang tidak bekerja.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Noor Fadzlin Abd Zawawi memohon hukuman berat atas alasan tertuduh sepatutnya menjaga dan melindungi keselamatan adiknya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment