My Add

Wednesday 26 February 2014

Kebajikan anggota ATM terjamin

Oleh SOFIAN BAHAROM

 * HISHAMMUDDIN Tun Hussein menyampaikan perutusan kepada warga kerja Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, SELASA, 25 Februari, 2014: Kementerian Pertahanan memperoleh peruntukan kewangan sebanyak RM60 juta bagi tujuan membaik pulih kuarters-kuarters anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang daif.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebagai permulaan enam buah kem utama iaitu Kem Tok Jalai, Alor Setar; Kem Desa Pahlawan, Kelantan; Kem Seberang Takir, Terengganu; Kem Tapah, Perak; Kem Port Dickson, Negeri Sembilan dan Kem Desa Tun Hussein Onn di Kuala Lumpur akan dibaik pulih.

Kerja membaik pulih tersebut katanya, akan dilaksanakan mengikut keutamaan secara berperingkat manakala sebagai usaha menggalakkan amalan dan gaya hidup sihat, pihak kementerian juga telah memperuntukkan RM30 juta bagi membina kemudahan sukan dan olahraga untuk warga ATM di Kem Perdana Sungai Besi.

Menurutnya, kerajaan turut mempertimbangkan pemberian enam jenis elaun kepada anggota ATM namun perkara tersebut masih dalam kajian agensi pusat dan bahagian perbendaharaan.

"Enam elaun itu melibatkan Elaun Stesen Luar Pantai termasuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Elaun Pasukan Khas ATM (Komando), Elaun Pasukan Atur Cepat (PAC- paratroopers), Bayaran Insentif Kapal Selam, Bayaran Insentif Juruterbang dan Bayaran Insentif Juruteknik Pesawat," katanya pada Majlis Perutusan Menteri Pertahanan Tahun 2014 di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan, di sini hari ini.

Hishammuddin turut memberitahu, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM2 juta setahun untuk sewaan bas sekolah bagi membawa anak-anak tentera pergi dan pulang sekolah di sekitar Lembah Klang, bermula tahun ini.

Beliau berkata, bas sekolah tersebut akan menggantikan trak tentera yang ketika ini digunakan sebagai kenderaan untuk membawa anak-anak tentera ke sekolah.

"Langkah ini melibatkan seramai 1,800 orang pelajar. Perkhidmatan bas ini akan mula beroperasi pada 1 April ini dan ia juga termasuk perlindungan insurans untuk kesemua penumpang,'' katanya.

Beliau juga berhasrat untuk memperluaskan perkhidmatan bas tersebut secara berperingkat kepada kem-kem tentera di seluruh negara dengan pertambahan peruntukan berjumlah RM21 juta.

Bagi golongan veteran ATM pula, Hishammuddin berkata, kementerian telah menjadikan usaha meningkatkan taraf sosio-ekonomi veteran sebagai sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) kementerian sejak tahun lalu dan akan diteruskan pada tahun ini.

"Pada ketika ini, terdapat seramai 379,727 warga veteran tentera yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM dan daripada jumlah tersebut seramai 103,250 orang berpencen dan 275,977 orang tidak berpencen.

Bagi meringankan beban warga veteran khususnya yang tidak berpencen, beliau menambah, kementerian telah mengadakan pelbagai insentif antaranya melaksanakan Program Baik Pulih dan Bina Baru Rumah Veteran 1Malaysia.

"Melalui program ini, sebanyak 200 buah rumah diberikan kepada warga veteran dan balu yang layak pada setiap tahun bermula pada tahun lalu.

"Setiap rumah diperuntukkan sebanyak RM45,000 sama ada untuk dibaik pulih atau dibina baru bergantung kepada keutamaan, melibatkan veteran di seluruh negara," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment