My Add

Wednesday 26 February 2014

TV3 diarah bayar RM30,000 kepada Nizar

Mohammad Nizar Jamaluddin
PUTRAJAYA, SELASA, 25 Februari, 2014: Mahkamah Rayuan hari ini mendapati Sistem Televisyen Malaysia Bhd. (TV3) telah memfitnah bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung laporan berita mengenai isu nombor pendaftaran plat WWW 1 milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dua tahun lalu.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Mohamad Ariff Md. Yusoff sebulat suara memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering itu dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah turut memerintahkan syarikat televisyen itu membayar kos sebanyak RM30,000 kepada Mohammad Nizar.

Berhubung ganti rugi, Hakim Mohammad Ariff memerintahkan agar taksiran tersebut dibuat oleh Mahkamah Tinggi yang mendengar kes terbabit.

Yang turut bersidang ialah Datuk David Wong Dak Wah dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim.

Pada prosiding hari ini, Mohammad Nizar diwakili peguam Mohd. Fitri Asmuni, manakala TV3 diwakili peguam, Liew Teck Huat.

Terdahulu dalam penghakimannya, Hakim Mohamad Ariff menyatakan, selepas mengambil kira kesemua keterangan, Mahkamah tidak bersependapat dengan Hakim Mahkamah Tinggi.

Tambah beliau, TV3 telah gagal dari segi justifikasi (kewajaran) dan gagal menunjukkan bahawa laporan berita itu benar atau separuh benar.

Selain itu, terdapat niat jahat dalam laporan itu, kata hakim terbabit.

Pada 12 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak tuntutan saman RM50 juta oleh Mohammad Nizar dengan alasan TV3 dan Penerbit Buletin Utama, Rohani Ngah selaku pihak defendan berjaya membuktikan pembelaan mereka berdasarkan kewajaran dan ulasan saksama dalam perkara yang melibatkan kepentingan awam.

Bagaimanapun, berhubung isu yang sama, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang berlainan telah memutuskan bahawa syarikat penerbitan akhbar, Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) telah memfitnah Mohammad Nizar.

Teck Huat ketika ditemui selepas tamat prosiding memberitahu, pihaknya akan meneliti penghakiman penuh panel tersebut sebelum membuat rayuan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment