My Add

Friday 2 March 2012

72 peserta dari 67 negara bakal berentap di PABM 2012

PUTRAJAYA, KHAMIS, 01 Mac, 2012: Sejumlah 72 peserta dari 67 buah negara akan menyertai pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2012 yang akan bermula esok hingga 13 Mac di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan akan merasmikan PABM yang ke-6 bertemakan “Pengantarabangsaan Bahasa Melayu” pada 8 Mac.

PABM yang diilhamkan memberi penekanan untuk memperkukuhkan kedudukan dan martabat Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Pengajian Tinggi berkata, pertandingan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Nusantara dan Kategori Antarabangsa dan seramai lapan peserta akan bertanding di peringkat akhir PABM 2012.

Johan setiap kategori PABM akan menerima hadiah wang tunai AS$5,000, Piala Pusingan, Piala Perdana Menteri, piala iringan serta kamus dan buku-buku dalam Bahasa Melayu.

Naib johan pula akan menerima wang tunai AS$3,000 dan piala iringan manakala pemenang tempat ketiga pula akan membawa pulang wang tunai AS$2,000 dan piala iringan.

Di bawah Kategori Nusantara, negara-negara yang digolongkan sebagai pengamal Bahasa Melayu sebagai bahasa utama atau bahasa ibunda, antaranya adalah Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand.

Bagi Kategori Antarabangsa, seramai enam peserta mewakili 62 negara dari enam benua. Mereka ini terdiri daripada para pelajar institusi pengajian tinggi yang mengambil jurusan Bahasa Melayu sebagai kursus elektif.

Orang ramai boleh menonton siaran langsung pertandingan akhir PABM 2012 di TV1 pada pukul 8.45 malam, 8 Mac. Acara kemuncak itu juga disiarkan ke seluruh dunia di 1Malaysia 1TV (http://www.1malaysiaiptv.com.my) dan juga Utusan Online (http://utusan.com.my). — BERNAMA

No comments:

Post a Comment