My Add

Friday 2 March 2012

Semakan SBPA siap awal April

Oleh Abdul Halim Yusoff dan Hanneeyzah Bariah Baharin

KUALA TERENGGANU, KHAMIS, 01 Mac, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semakan semula Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dijangka disiapkan awal April, tempoh ditetapkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau difahamkan jawatankuasa semakan semula yang diketuai bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam sudah mencapai banyak kemajuan untuk memastikan proses semakan semula itu disiapkan pada tarikh ditetapkan.

“Saya dimaklumkan Perdana Menteri sudah menetapkan tempoh hingga awal April. Apa pun tunggulah kerana saya percaya apabila tiba masa sesuai, Perdana Menteri akan mengumumkan bentuk dan format bagaimana skim itu hendak dilaksanakan,” katanya selepas perjumpaan khas dengan penjawat awam negeri dan Persekutuan sempena lawatan kerja sehari ke Terengganu, hari ini.

Terdahulu ketika berdialog dengan penjawat awam, Muhyiddin berkata, semakan semula SBPA diharap memuaskan hati semua penjawat awam kerana membabitkan arahan serta campur tangan terus daripada Perdana Menteri.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) prihatin keluhan penjawat awam dengan menangguhkan skim itu dan melantik panel kajian semula dengan penyertaan pelbagai pihak termasuk CUEPACS. 

Muhyiddin berkata, kerajaan BN yang mentadbir negara ini sentiasa membela penjawat awam kerana peranan mereka penting untuk menterjemahkan dasar dan aspirasi yang dirumus kerajaan bagi membela rakyat. 

“Kerajaan BN akan pertahankan kakitangan awam. Jika kerajaan beralih tangan, Nauzubillah. Justeru, saya harap penjawat awam dan keluarga mereka termasuk di Terengganu untuk terus bersama kita,” katanya. 

Beliau berkata demikian menjawab soalan seorang penjawat awam mengenai nasib kakitangan kerajaan jika pentadbiran negara beralih kepada parti lain. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, komitmen kerajaan BN membela kakitangan awam dan menyemarak pembangunan negara jelas menerusi pelbagai dasar sedia ada, sedangkan pembangkang tampil dengan Buku Jingga dengan pakar ekonomi berpendapat akan menyebabkan negara bankrap dalam tempoh dua tahun selepas pelaksanaan.

Buku Jingga turut menggariskan usaha pembangkang untuk mengurangkan penjawat awam dengan mengatakan Malaysia mempunyai jumlah kakitangan awam berbanding nisbah tenaga kerja, antara tertinggi di dunia.

Muhyiddin berkata, penjawat awam perlu lebih responsif melaksanakan agenda dan aspirasi kerajaan dengan turut sama berdamping atau turun padang bertemu rakyat bagi mendapatkan maklum balas rakyat berhubung sesuatu dasar yang mahu dilaksanakan. 

Sementara itu, mengulas kemungkinan kerajaan menamatkan pengambilan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk Kursus Perguruan Lepasan SPM, Muhyiddin berkata, belum ada keputusan dibuat setakat ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga sudah membuat lantikan Pengarah Pelajaran Terengganu yang kosong sejak tiga bulan lalu dan pengumuman dibuat dalam tempoh terdekat. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment