My Add

Saturday 24 March 2012

Beri sokongan kepada wanita lain - Shahrizat

PUTRAJAYA, SABTU, 24 Mac, 2012: Wanita perlu berani memberi peluang dan sokongan kepada wanita lain untuk memastikan kaum itu mampu mara ke hadapan terutamanya dalam arena politik, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata, tidak kira sama ada wanita itu terbabit dalam politik atau tidak semua wanita mempunyai peranan masing-masing.

"Jika wanita mahu mara ke hadapan di zaman sekarang, kita sendiri mesti memberi sokongan kepada wanita lain untuk memastikan lebih ramai golongan itu berada di tempat membuat keputusan terutamanya dalam politik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, jangan salahkan kaum lelaki konon tidak memberi peluang sedangkan pimpinan sekarang sudah menyediakan ruang yang cukup luas untuk lebih ramai wanita terbabit dalam politik.

"Wanita mesti tanya diri sendiri, kenapa kita sendiri tidak beri peluang dan tempat yang lebih banyak kepada kaum hawa untuk membuat keputusan dalam politik dan bukannya menuding jari kepada pihak lain," katanya.

Beliau berkata, ramai wanita masih terikat dengan pandangan lama (stereotaip) iaitu adalah lebih baik beri peluang kepada kaum lelaki, sehingga menyebabkan hilang keyakinan diri untuk berada di tempat membuat keputusan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment