My Add

Tuesday 27 March 2012

Hasan Ali cabar Azmin Ali

Oleh Meor Hisham Zulkifli, Rafidah Mat Ruzki dan S Anand Kumar

PETALING JAYA, ISNIN, 26 Mac, 2012: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dicabar supaya menjelaskan butiran sumber kewangannya untuk membeli saham bernilai jutaan ringgit ketika menjadi pegawai kerajaan pada 1992 hingga 1994 daripada terus mencari kesalahan orang lain.

Ahli Parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa itu diminta segera berbuat demikian kerana ketika itu beliau hanya pegawai kerajaan biasa yang tidak mampu memiliki banyak wang untuk membeli saham bernilai berjuta-juta ringgit.

Bekas EXCO Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, berkata Mohamed Azmin sepatutnya terlebih dulu mencermin diri sebelum melemparkan sebarang tuduhan jahat terhadapnya.

“Sila jelaskan dari mana sumber kewangan YB Bukit Antarabangsa dan isterinya membeli saham yang nilainya mencecah RM2 juta, sedangkan ketika itu saya difahamkan beliau hanya menerima gaji kira-kira RM2,000 saja.

“Sila nafikan laporan yang menyatakan Pengerusi Yayasan Pembangunan India Malaysia, S A Vickneswaran yang mendakwa Azmin dan isteri termasuk seorang ipar memiliki saham mencecah RM8.5 juta pada awal 1990-an. Saya timbulkan perkara ini kerana bagi saya Mohamed Azmin tidak mempunyai ‘locus standi’ untuk berbicara soal kredibiliti, integriti dan ketelusan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini..

Hasan menganggap tuduhan Mohamed Azmin beliau menggunakan ratusan ribu ringgit untuk membaikpulih pejabat EXCO Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam serta program Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri, sebagai tindakan tersirat yang mahu menjatuhkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Tindakan mempersoalkan kewibawaan saya di DUN baru-baru ini secara langsung mempertikai kredibiliti kerajaan negeri pimpinan Khalid. Ini kerana kelmarin Khalid sendiri sudah mengesahkan perbelanjaan itu mengikut tata cara perbendaharaan negeri. 

“Ini seperti membunuh dua burung dengan sebiji batu. Memang PKR ada perbalahan dalaman di Selangor kerana Azmin menggantikan Khalid sebagai Pengerusi PKR negeri. Malah, dengan kedudukan Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai penasihat ekonomi negeri, pasti lebih selesa buat Azmin,” katanya.

Hasan turut mencadangkan supaya semua perbelanjaan EXCO dan pengarah agensi serta anak syarikat kerajaan negeri diisytiharkan kerana ada pihak lain yang mengeluarkan belanja lebih besar untuk membaik pulih pejabat.

“Saya merasakan jumlah yang saya belanjakan sederhana kerana pengubahsuaian termasuk untuk semua pegawai dan kakitangan Skim Mikro Kredit Selangor (SKIMSEL) berjumlah 19 orang. Mengikut maklumat, kosnya lebih rendah jika dibandingkan pengubahsuaian pejabat EXCO lain,” katanya.

Mengulas isu lain, Hasan berkata, beliau menyokong langkah Datuk S Nallakarupan untuk berdepan dengan Anwar di mahkamah kerana baginya “biar orang yang paling rapat dengan Anwar mendedahkannya kerana rakyat mahu pemimpin yang mempunyai moral tinggi saja berada di Putrajaya.”

Saranan supaya Mohamed Azmin mendedahkan sumber kewangannya, disokong Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim yang menegaskan tidak wajar mencari kesalahan pihak lain sedangkan beliau belum menjawab perkara itu selepas didedahkan bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari.

“Kita ingin tahu siapa insan yang bermurah hati memberikan begitu banyak wang kepada Mohamed Azmin. Isu ini asalnya didedahkan oleh Anuar, iaitu orang yang pernah bersama-sama dengan Mohamed Azmin ketika berkhidmat untuk Anwar. Rakyat juga berharap polis dapat mendedahkan hasil siasatan kerana Anuar sudah menyerahkan segala bukti kepada pihak berkuasa pada 2009,” katanya.

Sementara itu, pada sidang DUN pagi semalam, Hasan mempersoalkan dana RM300 juta di bawah geran Selangorku yang dikatakan tidak direkodkan dalam akaun Pemerbadanan Menteri Besar (MBI). - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment