My Add

Monday 26 March 2012

Kadir aktif politik, teruskan perjuangan pemimpin UMNO lalu

KUALA LUMPUR: Bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang bertindak keluar dari parti itu minggu lalu, hari ini mengumumkan akan kembali aktif dalam arena politik dengan meneruskan perjuangan pemimpin UMNO terdahulu. 

Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan itu, berkata fokus utama beliau kini adalah untuk meneruskan perjuangan Umno berdasarkan "nilai perjuangan yang diasaskan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu", ke tempat yang lebih sesuai.

"Kita ada Amanah (Angkatan Amanah Merdeka), yang kita tubuhkan sebab hendak membawa perjuangan yang dimulakan oleh pengasas dan pemimpin Umno dan negara sebelum ini.

"Saya juga boleh meneruskan perjuangan dengan menyertai NGO-NGO jika ada yang menjemput untuk memberi ceramah atas isu nasional. Apabila sudah berhenti (dari Umno) saya bebas sikit, saya hanya terima jemputan NGO," katanya di pejabatnya, di Seri Kembangan, di sini. 

Abdul Kadir menjadi ahli UMNO sejak 1956 dan memegang pelbagai jawatan dalam parti dan kabinet. 

Pada sidang media itu, Abdul Kadir turut menjelaskan bahawa keputusan meninggalkan parti diambil selepas beliau yakin ada gerakan yang "dibuat secara terancang dari pihak yang berkuasa" sehingga menyebabkan beliau menjadi sasaran kritikan oleh media massa arus perdana, ekoran kritikannya terhadap UMNO sebelum ini. 

Ia, katanya, diikuti kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang meminta beliau keluar parti kerana kontroversi tersebut. 

"Maka saya keluarlah sebagai ahli UMNO yang saya abdikan segala jiwa dan raga saya selama 56 tahun," katanya yang menegaskan tidak akan meninggalkan perjuangan UMNO yang asal. 

Menurut Abdul Kadir, antara yang menjadi kecaman hebat dan diputarbelit oleh media arus perdana ialah mengenai teguran beliau supaya dihapuskan rasuah dalam parti dan pilihan raya, menuntut pilihan raya yang bebas dan telus tanpa menggunakan agensi kerajaan untuk berkempen bagi satu pihak selain menuntut kebebasan media. 

"Kesemua cadangan di atas bukanlah baru tetapi juga diperkatakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri," katanya. 

Ditanya sama ada kekecewaan itu menyebabkan beliau bertindak keluar parti, Abdul Kadir berkata: "Saya tidak mahu menyebutnya begitu. Saya sayang kawan-kawan saya, kita tak boleh putuskan hubungan. Saya tak nak kata yang tidak baik. Keputusan untuk meninggalkan Umno adalah sesuatu yang sangat sukar". 

Mengulas sama ada beliau ada menerima tawaran termasuk daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai mereka, Abdul Kadir berkata: "Ramai yang pujuk saya untuk masuk (pembangkang) tetapi saya tidak akan buat keputusan berdasarkan pujukan. 

"Buat saya ini, saya bersama dengan NGO (Amanah), perkara-perkara lain, belum terfikir lagi. Kalau depa 'tabuh' kuat sangat, kita terjun la," katanya apabila ditanya tentang kemungkinan beliau menyertai Pakatan pembangkang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment