My Add

Sunday 4 March 2012

Tiada cadangan kurangkan cuti umum: Muhyiddin

KUALA LUMPUR, AHAD, 04 Mac, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tiada cadangan untuk mengurangkan jumlah cuti umum apabila cadangan gaji minimum dilaksanakan kerana pendirian itu diyakini sudah mengambil kira aspek produktiviti. 

Beliau berkata apa yang penting adalah untuk semua pihak meningkatkan produktiviti supaya ekonomi negara dapat terus berkembang.

"Ada beberapa perkara yang kita percaya perlu diberi perhatian kalaupun gaji minimum nanti akan ditetapkan.

"Semua pihak ada peranan masing-masing supaya ekonomi terus berkembang, rakyat dapat faedah daripadanya dan tidak bawa kesan yang boleh menjejaskan pertumbuhan dan sebagainya. Itu kita ambil kira sebab kajian sudah dibuat agak mendalam sejak sekian lama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2012 di Dataran Merdeka di sini, hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan yang disuarakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilaporkan berkata produktiviti rakyat akan menurun memandangkan jumlah cuti umum yang terlalu banyak di Malaysia. 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam pula dilaporkan berkata dasar mengenai gaji minimum pekerja sektor swasta dijangka diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bulan ini. 

Muhyiddin berkata butiran mengenai dasar gaji minimum itu akan diumumkan Najib tidak lama lagi.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak terburu-buru dalam membuat keputusan tersebut sebaliknya mendapatkan persetujuan dengan pihak yang terbabit dalam pelaksanaan tersebut termasuklah majikan dan kumpulan pekerja. 

"Semua faktor, kos hidup, inflasi dan pembelaan dari segi wilayah seperti Sabah dan Sarawak, Semenanjung, keupayaan majikan untuk bayar dan kesan kepada ekonomi, itu sudah kita ambil kira. Apapun bila sampai masanya, perkara ini akan dijelaskan secara terperinci apa yang telah diputuskan oleh pihak kerajaan," katanya. 

Sementara itu, ketika diminta mengulas dakwaan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bahawa dasar penswastaan yang diamalkan kerajaan sebagai ‘privatising profit, socialising losses’ (keuntungan penswastaan, kerugian bersosial), Muhyiddin berkata kerajaan mempunyai asas dan pertimbangan dalam melaksanakan dasar tersebut. 

Katanya pelaksanaan dasar tersebut sudah memberikan impak yang baik dalam kehidupan rakyat, serta tidak dapat dielakkan kerana kerajaan mahu pihak swasta memainkan lebih banyak peranan pada masa akan datang. 

"Sebahagian daripada pertumbuhan yang kita lihat dalam negara adalah hasil daripada dasar penswastaan. Bukan sekarang, pada masa lalu pun begitu. 

"Ia bukan sahaja penswastaan, ia adalah peranan sektor swasta yang ingin ditekankan dalam ETP (Program Transformasi Ekonomi). Ini akan jadi pemacu utama sosio-ekonomi negara. Sektor swasta akan menjadi enjin pertumbuhan. Kerajaan akan menjadi fasilitator dan pemudah. 

"Mungkin penswastaan kurang dan peranan sektor swasta ditingkatkan bagi menyediakan apa jua kemudahan yang diperlukan orang ramai," katanya. 

Sementara itu, Muhyiddin berkata keputusan untuk mendakwa pengarah Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp) terletak di tangan Peguam Negara. 

Pada masa yang sama, beliau menegaskan tidak adil bagi mana-mana pihak membuat andaian awal tentang sesuatu perkara yang belum tentu akan terjadi. 

"Lebih baik kita tunggu keputusan (Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail). Bila AG (peguam negara) sudah buat keputusan, itu kita akan terima, dan selepas itu kalau dia dibawa ke mahkamah atau tidak itu akan diputuskan, mahkamah pula ada sistem untuk bicarakan. 

"Kita tidak boleh buat sesuatu ramalan di peringkat yang kita tahu masih belum selesai. Bagi saya biarkan (perkara) ini diserahkan kepada peguam negara, nanti beliau akan buat keputusan yang sewajarnya," katanya ketika diminta mengulas cadangan polis untuk mendakwa pengarah-pengarah NFCorp atas tuduhan pecah amanah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment