My Add

Thursday 1 March 2012

Mahkamah tolak permohonan penganjur Festival Seksualiti

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Mac, 2012: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak permohonan untuk mendapatkan semakan semula kehakiman yang difailkan oleh Seksualiti Merdeka bagi mencabar keputusan polis mengharamkan Festival Seksualiti pada November tahun lalu.

Hakim Datuk Rohana Yusuf membuat keputusan itu di dalam kamar selepas mengadakan pertemuan dengan Peguam Kanan Persekutuan, Noor Hisham Ismail, yang mewakili responden, serta peguam Honey Tan Lay Ean dan Chew Siew Ting, yang mewakili pemohon.

Tan memberitahu pemberita bahawa Rohana menolak permohonan itu tanpa kos atas alasan keputusan yang dipertikaikan itu tidak boleh dipinda melalui semakan semula kehakiman.

Alasan kedua, katanya, ialah permohonan itu hanya bersifat akademik.

Permohonan berkenaan difailkan Pang Khee Teik, 38, Angela Marianne Kuga Thas, 47, S Thilaga Socky Pillai, 24, Siti Zabedah Kasim, 48, dan Md Nor Ismat Selamat terhadap Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, Timbalan Ketua Polis Dang Wangi, Nor Azman Muhammad Yusuf dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Dalam permohonan mereka yang difailkan pada 1 Disember tahun lalu, pemohon berkata, Khalid, sebagai responden pertama, mengisytiharkan pengharaman semua acara dan majlis Seksualiti Merdeka melalui sidang akhbar pada 3 November tahun lalu dengan memberi alasan ia tidak sah di sisi undang-undang dan melanggar Perkara 8 dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

Mereka berkata, Khalid membuat keputusan itu berikutan salah faham atau kejahilannya tentang satu fakta kukuh dan relevan bahawa acara berkenaan tidak digunakan untuk melakukan kegiatan menyeleweng, yang boleh mengakibatkan timbulnya keadaan tidak harmoni, permusuhan atau mengganggu ketenteraman awam atau mengancam keselamatan negara.

Pemohon berkata, dalam membuat keputusan pengharaman itu, Khalid mengambil kira perkara tidak relevan seperti pandangan popular dan majoriti tentang seksualiti, kesihatan dan/atau agama, yang mereka dakwa adalah alasan yang tidak sah untuk melarang festival itu daripada diadakan.

Mereka memohon mendapatkan perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan itu dan perintah supaya responden mengemukakan semua laporan polis yang dibuat berhubung penganjuran acara Seksualiti Merdeka.

Seksualiti Merdeka adalah festival tahunan mengenai hak seksualiti yang menampilkan hak manusia daripada pelbagai orientasi seksual dan jantina.

Ia juga memperjuangkan hak golongan lesbian, dwiseksual, gay dan transgender.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment