My Add

Thursday 1 March 2012

Malaysia-Australia bincang kerjasama automotif

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Mac 2012: Institut Automotif Malaysia (MAI) menganjurkan Forum Meja Bulat Automotif Malaysia-Victoria Australia di Cyberjaya hari ini untuk membincangkan bidang kerjasama antara peserta industri dari kedua-dua negara.

Ia juga diadakan untuk mengenal pasti bidang khusus dalam pembangunan modal insan dan penyelidikan automotif.

Forum meja bulat itu adalah sebahagian daripada inisiatif persediaan oleh kedua-dua pihak bagi Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA), yang akan ditandatangani tidak lama lagi oleh kedua-dua kerajaan, kata Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Madani Sahari, dalam satu kenyataan.

Peserta tempatan termasuklah wakil dari Proton, Perodua, DRB-Hicom, Naza, Inokom, Persatuan Automotif Malaysia, Pengeluar Bahagian Komponen Automotif Malaysia serta kelab-kelab vendor Proton dan Perodua. 

Perwakilan Australia yang diketuai Pusat Penyelidikan bagi Teknologi Automotif Maju (AutoCRC), yang terdiri daripada sembilan wakil dari universiti terkemuka serta organisasi berkaitan R&D negara itu, termasuk Swinburne University, RMIT, Deakin University dan Wollongong University. 

"Sebagai sebuah agensi pusat dalam komuniti automotif Malaysia, MAI akan menguruskan pelaksanaan program dan projek yang dicadangkan bagi kerjasama itu. 

"Ini boleh menjadi satu usaha yang menarik pada masa akan datang dan kami menjangkakan kerjasama ini akan membantu meningkatkan daya saing kedua-dua negara dan memupuk hubungan yang lebih akrab dalam kalangan komuniti R&D dan perindustrian Malaysia dan Austtralia," tegas Madani. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment