My Add

Monday 30 April 2012

AG teliti laporan, Bersih mahu Suhakam siasat

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 April, 2012: Laporan lengkap mengenai perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara semalam akan diserahkan kepada pihak Peguam Negara bagi proses pendakwaan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, ketika ini polis sedang meneliti rakaman keseluruhan perhimpunan tersebut termasuk saksi insiden itu sebelum laporan lengkap mengenainya diserahkan kepada Peguam Negara.

"Pada ketika ini, keadilan dan pembelaan yang kita mahu. Saya difahamkan, setiap insiden sudah dirakam dan ia (rakaman) akan diteliti dalam proses siasatan dan pendakwaan.

"Kita mahu siapa yang bersalah dalam hal ini dibawa ke muka pengadilan dan tiada istilah pilih bulu kepada sesiapa yang didapati bersalah," katanya kepada
pemberita di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Sebelim itu, beliau mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat dua petugas media dan dua anggota polis yang cedera ketika perhimpunan itu di hospital berkenaan.

Hishammuddin berkata, rakaman teliti yang dibuat beberapa pihak akan digunakan bagi membantu pihak Peguam Negara untuk menentukan siapa yang harus dibawa ke muka pengadilan nanti.

Ketika diminta mengulas mengenai insiden tindakan polis yang menahan dan memukul salah seorang anggota media yang membuat liputan pada perhimpunan itu, Hishammuddin berkata: "Saya harap ia tidak benar tetapi saya tidak akan melindungi sesiapa. Jika anda melanggar undang-undang, anda akan dikenakan tindakan."

Justeru, beliau meminta orang ramai tidak membuat pelbagai spekulasi mengenai insiden tersebut dan berlaku adil kepada semua pihak termasuk polis.

Ketika ditanya mengenai tindakan terhadap Datuk S. Ambiga yang bertanggungjawab menganjurkan perhimpunan itu, Hishammuddin berkata, ia bergantung kepada Peguam Negara.

"Kita kena faham proses pendakwaan ini kerana kalau kita tak ikut proses itu, akhiranya kita juga yang dituduh tak telus dalam tindakan kita," katanya.

Beliau dalam pada itu menolak dakwaan bahawa pihak keselamatan memulakan provokasi pada perhimpunan itu dan beliau bercadang untuk menyiarkan rakaman perhimpunan tersebut kepada orang ramai bagi membuktikan kebenaran.

Sementara itu, Ambiga berkata, beliau akan menyerahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk menyiasat insiden keganasan yang tercetus semasa perhimpunan itu.
"Kami mahu Suhakam menjalankan siasatan bebas... mereka yang mencetuskan masalah hendaklah dikenalpasti termasuk mereka yang melanggar sekatan pihak berkuasa dengan merempuh pagar pengadang (di Dataran Merdeka)," katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, siasatan penuh perlu dibuat oleh Suhakam bagi mendapatkan maklumat termasuk arahan melepaskan gas pemedih mata dan air mengandungi bahan kimia serta arahan menutup operasi sistem pengangkutan Transit Aliran Ringan (LRT).

Ditanya adakah beliau selaku penganjur perhimpunan itu akan bertanggungjawab terhadap insiden itu yang menyebabkan banyak kerosakan kepada kemudahan awam,

Ambiga berkata, beliau perlu meneliti laporan Suhakam sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai siapa yang harus bertanggungjawab.

"Jangan buat sebarang andaian siapa yang perlu bertanggungjawab... kami perlu menyiasat dahulu, kami ingin mengetahui siapa yang melakukannya.

"Biar siasatan dijalankan dan kami mahu Suhakam menyiasat dari segala sudut... mereka boleh juga menyiasat kami," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment