My Add

Sunday, 29 April 2012

Bersih 3.0: Ambiga, pembangkang bertanggungjawab

PUTRAJAYA, AHAD, 29 April, 2012: Pemimpin parti pembangkang dan Datuk S. Ambiga perlu bertanggungjawab dan dikenakan tindakan undang-undang terhadap kecederaan dan kerosakan harta benda yang berlaku semasa berlangsungnya perhimpunan haram Bersih 3.0 semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam perhimpunan itu Ambiga yang merupakan Pengerusi Bersih ternyata gagal mengawal keadaan di Dataran Merdeka sehingga menyebabkan rusuhan dan kecederaan polis.

"Dalam kejadian semalam, Ambiga tidak dapat mengawal keadaan dan telah `diculik' oleh parti pembangkang. Kalau ia pembangkang kita tahu muslihat mereka, ini sebahagian daripada rancangan untuk menghadapi pilihan raya umum.

"Mereka mahu membentuk fikiran rakyat kononnya semuanya tidak betul supaya jikalau Barisan Nasional (BN) kekalkan kuasa, mereka akan kata itu kemenangan yang palsu.

"Mereka nak menimbulkan kemarahan rakyat dan membawa anak-anak muda mengadakan demonstrasi di jalan raya seperti berlaku di sesetengah negara,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Dialog Nasional Pendidikan Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pasukan polis telah menjalankan tugas dengan profesional serta menahan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh dimanipulasi oleh parti pembangkang.

"Ketika menjalankan tugas, polis telah berjaya mengawal perasaan masing-masing, tetapi malangnya peserta Bersih 3.0 yang tidak dapat mengawal diri sendiri,'' katanya.

Muhyiddin berkata, beliau bagaimanapun tidak akan terkejut sekiranya parti pembangkang tetap mencari pelbagai alasan untuk mempersalahkan polis atau kerajaan.

"Mereka akan salahkan polis memulakan kekacauan atau gagal mengawal

keadaan, tetapi dunia sudah terbuka dan kita boleh lihat video untuk tahu apa sebenar yang berlaku," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment