My Add

Sunday, 29 April 2012

Anak bekas tentera ditembak mati di pekan Sungai Golok

KOTA BHARU, AHAD, 29 April, 2012: Lelaki rakyat tempatan yang mati ditembak di pekan Sungai Golok semalam sebenarnya adalah anak bekas anggota tentera dan bukan seorang anggota tentera seperti yang disangkakan pada mulanya. 

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata mangsa
disangkakan seorang anggota tentera berdasarkan kepada pengenalan diri yang dijumpai pada mayatnya.

"Sebenarnya lelaki itu anak bekas anggota tentera yang menggunakan kad 
pengenalan bapanya," katanya kepada pemberita selepas program "policing 
walk-out" di sekitar bandar ini, hari ini. 

Jalaluddin berkata, pihaknya akan bekerjasama membantu pihak berkuasa 
Thailand menyiasat kes itu bagi mengetahui punca sebenar kejadian pembunuhan 
lelaki berkenaan.
 
"Kami menyerahkan kepada polis Thailand menyiasat kes itu, kami hanya 
boleh membantu kerana ia berlaku di sebelah sana," katanya. 

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang ingin memasuki Thailand 
supaya mengikut peraturan dan menggunakan laluan yang sah bagi mengelakkan 
berlaku perkara tidak diingini. 

Beliau berkata, ia kerana penggunaan laluan yang tidka sah akan hanya 
menimbulkan kesulitan kepada pihak berkuasa kedua-dua negara. 

Ditanya kes penemuan rangka seorang gadis di Rancangan Kemajuan Tanah 
Kesedar Jeram Tekoh, minggu lalu, Jalaluddin berkata, gadis berkenaan dipercayai 
menjadi mangsa rogol sebelum dibunuh dan dibakar bersama motosikal yang ditemui di tempat kejadian. 

"Polis telah menahan sembilan suspek, termasuk dua wanita yang dipercayai 
boleh membantu polis dalam siasatan kes itu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment