My Add

Sunday 29 April 2012

Yakin tarik dua juta belia

Oleh ZULHISHAM ISAHAK

MUAR, SABTU, 28 April, 2012: Kementerian Belia dan Sukan yakin program Himpunan Jutaan Belia pada bulan depan mampu menarik dua juta belia berdasarkan 500 program dengan 1,000 aktiviti yang disediakan untuk mereka.

Timbalan Menterinya, Datuk Razali Ibrahim berkata, sasaran itu tidak mustahil dicapai kerana melalui himpunan yang sama tahun lalu dengan 200 program telah berjaya mengumpulkan 1.2 juta belia dalam tempoh tiga hari ia diadakan.

"Jika angka itu menjadi kenyataan, sekali gus matlamat menjadikannya sebagai satu daripada 10 perhimpunan terbesar di dunia akan turut dicapai pada tahun ini.

"Kali ini kita akan adakan selama lima hari dan menyediakan 23 pentas di Putrajaya untuk membolehkan golongan belia mengadakan aktiviti pentas mereka sepanjang program itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Mesra Belia Daerah Muar di Dataran Tanjung Emas, di sini hari ini.

Himpunan Jutaan Belia selama lima hari bermula 23 hingga 27 Mei itu akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya.

Terdahulu, Razali bersama Pegawai Daerah Muar, Amran Othman berbasikal mengelilingi Bandar Diraja Muar bersama lebih 300 belia dari daerah ini.

Razali berkata, melalui penyertaan 1.2 juta belia dalam program tersebut pada tahun lalu, ia turut menyumbang 0.014 peratus atau RM102 juta kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada aktiviti perniagaan selama tempoh tiga hari itu.

Beliau percaya jumlah itu akan dapat dipertingkatkan kali ini memandangkan tempoh himpunan tersebut dilanjutkan kepada lima hari berbanding tiga hari pada tahun lalu.

Mengenai sambutan Hari Belia Negara pada 15 Mei ini, Razali memberitahu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melancarkan perayaan tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment