My Add

Sunday 29 April 2012

Rakyat dipelawa sertai Dialog Nasional Pendidikan

PUTRAJAYA, AHAD, 29 April, 2012: Kerajaan mempelawa semua lapisan masyarakat untuk menyampaikan pandangan dan suara hati melalui siri Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 bagi memartabatkan sistem pendidikan negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selain sesi dialog, rakyat juga boleh menyalurkan pandangan mereka melalui twitter, facebook dan laman sesawang kajian semula pendidikan bermula hari ini sehingga pertengahan Julai nanti.

"Siri dialog ini adalah satu inisiatif yang bersejarah kerana buat pertama kali kerajaan mempelawa pandangan masyarakat umum dalam skala yang besar untuk bersama-sama merangka pelan pembangunan pendidikan negara ketika kita sedang melangkah memasuki fasa baru transformasi," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika melancarkan Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi, Ketua Setiausaha Datuk Dr Rosli Mohamed, Ketua Pengarah Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud dan Pengerusi Panel Penilaian Bebas Kajian Semula Pendidikan Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak.

Muhyiddin berkata satu laporan awal disediakan selepas kajian itu dilakukan dan rakyat sekali lagi dipelawa untuk memberikan pandangan mereka sebelum dokumen Pelan Hala Tuju Pendidikan Negara dimuktamadkan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa siri dialog tersebut bukan medan untuk mengutarakan tuntutan melampau yang bercanggah dengan perkara-perkara asas yang termaktub dalam perlembagaan, undang-undang dan Rukun Negara.

Jelasnya, siri dialog itu bertujuan untuk meningkatkan kualiti semua sekolah termasuk sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan Cina/Tamil, mubaligh dan sekolah agama bantuan kerajaan.

"Jangan ada pihak yang merasakan hanya sekolah-sekolah tertentu sahaja yang akan menerima manfaat daripada kajian semula pendidikan ini, manakala sekolah-sekolah yang lain pula terabai," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment