My Add

Sunday, 29 April 2012

Ambiga diminta tidak terlalu percaya Anwar

KUALA LUMPUR, SABTU, 28 April, 2012: Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan menasihatkan Pengerusi Bersih 3.0, Datuk S. Ambiga supaya tidak terlalu mempercayai Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana yakin peguam itu juga akhirnya akan 'ditinggalkan sebatang kara sepertinya'.

Menurut Gobalakrishnan, akibat terlalu mengikut telunjuk Ketua Pembangkang itu, beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan meringkuk sendirian di penjara.

"Bersih 3.0 pun adalah agenda Anwar, tidak sedarkah Ambiga dia hanya dipergunakan? Jika mahu pilihan raya bersih mengapa tidak pergi kepada kerajaan, mengapa sengaja mahu huru-harakan keadaan?" katanya dalam program Hello Malaysia di TV Bernama malam tadi.

Bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu merupakan salah seorang ahli panel dalam program bual bicara bertajuk 'Bersihkan Bersih'.

Seorang lagi ahli panel yang diketengahkan dalam program tersebut ialah bekas Naib Ketua Angkatan Muda PKR merangkap Mursyidul Am Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip.

Mengulas lanjut, kata Gobalakrishnan, Ambiga harus segera keluar dari permainan politik Anwar kerana ia hanya akan memudaratkan diri sendiri.

"Saya mengenali insan bernama Anwar ini selama bertahun lamanya. Selagi negara ini aman damai, selagi itu dia akan cari jalan menghuru-harakan negara. Selagi dia tidak menjadi Perdana Menteri, selagi itu dia tidak akan duduk diam.

"Antaranya seperti mengadakan demonstrasi seperti ini. Saya nasihatkan Ambiga supaya segera menyedari perkara ini," katanya lagi.

Beliau turut memberi contoh bagaimana Naib Pengerusi DAP, Senator Tunku Abdul Aziz Ibrahim dikritik selepas membuat kenyataan bahawa beliau tidak bersetuju dengan Bersih 3.0.

"Apa jadi kepada Tunku Aziz? (Saya percaya) beliau diserang oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng atas arahan Anwar hanya kerana beliau tidak bersetuju dengan perhimpunan yang tidak mengikut lunas undang-undang," ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Zahid pula melahirkan kesedihannya dengan sikap Pas yang sanggup 'memperjuangkan' pemimpin seperti Ambiga.

"Difahamkan, Unit Amal Pas yang memenuhi perhimpunan tersebut. Bagaimana mereka tanpa segan silu boleh menyokong seorang pemimpin yang memperjuangkan aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)?" tegasnya.

Sewajarnya kata Muhammad Zahid, rakyat perlu memilih seorang pemimpin yang bersih dari segi moral dan akidah seterusnya menolak mana-mana pemimpin yang jelas berperangai tidak senonoh.

"Kita wajib menolak pemimpin-pemimpin yang boleh membawa kepada kehancuran negara, hanya mempunyai kepentingan politik mereka sendiri malah saya percaya perhimpunan ini mungkin ada pihak asing yang terlibat untuk meranapkan negara," tegasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment