MUAR, AHAD, 29 April, 2012: Hampir 40 rumah sekitar Taman Seri Jeram di sini, rosak di bahagian bumbung akibat diterbangkan ribut awal pagi semalam.
Dalam kejadian bermula kira-kira jam 6.45 pagi itu, kebanyakan penduduk sedang berada di rumah dan kejadian berlaku selama kira-kira 45 minit menyebabkan masing-masing kerugian beberapa ribu ringgit, walaupun tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan.
Penduduk, Md Saad Ali, 49, berkata kejadian berlaku secara tiba-tiba pada kira-kira jam 6.45 pagi yang dimulai dengan hujan lebat dan ribut petir menyebabkan atap genting rumahnya diterbangkan angin kuat seperti puting beliung itu.
Katanya, beliau terdengar bunyi seperti orang membaling batu ke atas bumbung rumahnya sebelum melihat beberapa keping bumbung mula tercabut dan air hujan memasuki rumah.
“Saya segera mengalihkan barangan ke tempat lebih selamat sebelum ribut berkenaan reda kira-kira 45 minit selepas itu," katanya ketika ditemui, semalam.
Difahamkan tiga barisan rumah membabitkan keseluruhan 36 unit terutama rumah setingkat di situ, mengalami kerosakan pada bumbung dan tingkap.
Jirannya, Azhari Abd Rahman, 47, berkata ada penduduk melihat angin kuat berpusing seperti puting beliung menyebabkan atap rumah rosak diterbangkan angin.
“Rumah lebih rendah terselamat kerana terlindung, mujur juga tiada sebarang kecederaan serius dialami penduduk," katanya.
Pelajar, Izieizzuden Abd Rahman, 15, berkata beliau nyaris ditimpa kecelakaan apabila atap genting jatuh dan menimpa kakinya.
Katanya ketika itu beliau sedang tidur bersama adiknya, Iszwan Izzuden, 10, sebelum beliau terdengar bunyi yang kuat dan tidak lama selepas itu atap berkenaan jatuh dan terkena kakinya. - BEITA HARIAN
No comments:
Post a Comment