*Perhimpunan Bersih 3.0 yang dijamin diadakan secara aman berakhir ganas |
Sambil menyifatkan insiden semalam sebagai 'amat malang', Timbalan Perdana
Menteri berkata, sebagai penganjur, Ambiga harus menghadapi tindakan undang-undang kerana menyebabkan kerosakan harta benda dan mencederakan anggota polis.
"Bagi saya ini satu yang amat malang. Apa yang berlaku semalam sepatutnya
tidak berlaku. Bagi saya pihak pembangkang harus bertanggungjawab.
"Ambiga tidak boleh lepas daripada tanggungjawab sebab dia kata dia jadi
penganjur utama. Jadi kita serah kepada pihak berkuasa apakah tindakan wajar
yang boleh diambil. Bukan kita ikat kebebasan. Itu kita sudah bagi," katanya selepas melancarkan majlis dialog nasional pendidikan negara 2012, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Ambiga dilaporkan mengakui kegagalannya mengawal emosi penyokongnya yang
merempuh penghadang polis berhampiran Dataran Merdeka walaupun perkara itu
dijanjikannya sebelum ini tidak akan berlaku.
Muhyiddin berkata, pembangkang mengambil kesempatan, menggunakan perhimpunan semalam untuk kepentingan politik mereka dalam menghadapi pilihan raya umum nanti.
Beliau berkata, perhimpunan semalam yang berakhir dengan keganasan dan
rusuhan ternyata menimbulkan rasa tidak puas hati dan kemarahan rakyat negara
ini.
"Malangnya hal yang kita lihat semalam bukan tuntutan Ambiga sebenarnya.
Beliau sendiri tidak dapat mengawal keadaan. Nampaknya ia (perhimpunan) sudah diculik oleh parti pembangkang dan kita tahu apakah muslihat mereka.
"Ini adalah sebahagian daripada rancangan mereka untuk menghadapi pilihan
raya umum," katanya.
Justeru, beliau berkata, rakyat sendiri boleh membuat penilaian terhadap
taktik kotor dan muslihat sebenar pembangkang yang mendalangi perhimpunan itu walaupun pada dasarnya kerajaan bersetuju menawarkan stadium untuk mengadakan perhimpunan itu tanpa mengganggu keamanan dan ketenteraan awam.
Katanya, kerajaan juga menyedari pembangkang akan bertindak lebih agresif
sekiranya Barisan Nasional(BN) mengekalkan kuasa pada pilihan raya umum nanti.
"Kita jangka mereka nak buat sesuatu yang lebih daripada itu untuk
menimbulkan kemarahan rakyat, mungkin instigate (menghasut) anak-anak muda untuk keluar ke jalan raya macam mana yang berlaku di setengah-setengah negara.
"Kita sudah boleh baca. Sebab itu ada Bersih 1, Bersih 2,Bersih 3. Kalau
lambat lagi pilihan raya, mereka akan buat Kotor (Bersih) 4,5 dan 6 sebab mereka
tak bersih lagikan. Itu muslihat mereka. Kita tahu strategi itu dibuat
begitu," katanya.
Menurutnya, tuduhan penganjur dan pembangkang kononnya proses pilihanraya di negara ini masih tidak telus adalah tidak benar memandangkan wakil pembangkang turut serta dalam jawatankuasa penambahbaikan proses pilihan raya dan laporannya telah dibentangkan di Parlimen.
Katanya, jawatankuasa itu sebulat suara mempersetujui 22 perkara, lebih
daripada tuntutan Bersih sebelum ini dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang
melaksanakan tuntutan tersebut secara berperingkat-peringkat.
"Booklet yang dikeluarkan SPR baru-baru ini menyatakan satu persatu setiap
perkara secara terperinci termasuklah pilihan raya, sistem pilihan raya yang
akan dilaksanakan nanti. Saya fikir sudah lebih daripada apa yang dikehendaki,"
katanya.
Menurutnya, polis menjalankan tanggungjawab dengan begitu profesional
dalam mengawal rusuhan semalam.
"Polis mengambil satu sikap yang agak baik untuk mengawal perasaan mereka
sehingga mereka tidak berbuat apa-apa, tetapi malangnya pihak-pihak yang ada
di situ tidak dapat kawal perasaan mereka sebaliknya mencederakan anggota
polis," katanya.
Tegasnya, perbuatan yang tidak diingini antaranya mencederakan anggota
polis, memusnahkan kenderaan polis dan harta benda awam ternyata boleh
dihindarkan sekiranya perhimpunan itu diadakan secara aman di stadium tertutup.
"Bermakna apa yang mereka janji perhimpunan itu adalah aman sebenarnya tidak
aman lagi. Harta benda rosak, polis cedera, sampai saya dengar ada pegawai polis
masuk ICU (Unit Rawatan Rapi)," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment