MUHYIDDIN bersama isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman (dua dari kiri) sambil diiringi Musa Aman (tiga dari kiri) melihat hasil jualan peniaga pada program lawatan mesra pemimpin itu di Pasar Besar Kota Belud, Sabah, semalam.
KOTA KINABALU, SABTU, 28 April, 2012: Kerajaan bercadang menubuhkan satu jawatankuasa Kabinet bagi membincangkan mengenai polisi pengangkutan laut atau kabotaj yang menjadi isu berbangkit di negeri ini sejak sekian lama.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan berkenaan akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh terdekat.
"Cadangan ini sedang disediakan untuk dibawa kepada Jemaah Menteri pada mesyuarat Kabinet depan," katanya pada majlis makan malam bersama dewan-dewan perniagaan Sabah di sini malam tadi.
Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Salleh Tun Said dan wakil-wakil dewan perniagaan negeri ini.
Polisi kabotaj menetapkan semua penghantaran pengimportan dan pengeksportan perlu melalui Semenanjung Malaysia.
Jelas Muhyiddin, kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap isu berkenaan yang menjadi masalah kepada peniaga, sekali gus menyebabkan perbezaan harga barangan antara Sabah dan Semenanjung.
Katanya, cadangan bagi mengatasi isu berkenaan akan mengambil kira perbincangan dengan Musa selaku Ketua Menteri dan wakil-wakil dewan perniagaan di negeri ini.
Dalam hubungan ini jelas beliau, kerajaan akan melihat secara menyeluruh termasuk perkara yang melampaui isu tersebut.
Katanya, ini termasuklah untuk menjadikan Sabah sebagai hab perdagangan dan perniagaan di rantau ini.
Justeru katanya, kajian terperinci perlu dilakukan termasuk dari aspek fizikal, teknikal dan ekonomi bagi memajukan negeri ini selain melakukan siasatan jika terdapat aduan mengenai usaha memonopoli oleh pemain industri dalam isu itu. - ITUSAN
No comments:
Post a Comment