SINGAPURA, ISNIN, 30 April, 2012: APEC telah mengambil langkah yang padu ke arah merealisasikan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP), dengan membuat sumbangan yang penting dan bermakna sebagai inkubator untuk kepimpinan dan idea, kata Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC, Duta Datuk Muhammad Noor Yacob.
Beliau berkata APEC atau perkumpulan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik sedang memperhalusi, membentuk dan menangani isu-isu pelaburan dan perdagangan
"generasi akan datang" seperti penyertaan PKS, penambahbaikan rantaian bekalan dan inovasi yang mana seharusnya ada dalam FTAAP.
"Ekonomi APEC memberi penekanan kepada kepentingan strategik integrasi dan
kerjasama ekonomi serantau sebagai jalan untuk mencapai pertumbuhan mampan dan pembangunan sama rata di rantau ini.
"Ia bergantung dalam agenda asal APEC untuk menyokong sistem perdagangan
pelbagai hala," katanya berucap kepada ahli-ahli komuniti perniagaan, sektor awam dan ahli akademik di Singapura pada persidangan yang dianjurkan oleh Majlis Kerjasama Ekonomi Pasifik (PECC) di sini.
Peserta telah berkumpul untuk membincangkan cara menangani cabaran
yang baru muncul di rantau ini.
Walaupun tanpa perjanjian rasmi, Muhammad Noor berkata satu kajian yang
dikendalikan oleh Unit Sokongan Dasar Apec, mendapati yang ekonomi APEC
kemungkinan lebih menjurus kepada eksport dan import di kalangan ahli berbanding bukan ahli.
"Telahpun didapati impak keahlian APEC di kalangan ahli menyamai perjanjian perdagangan bebas walaupun mereka tidak terikat oleh peraturan rasmi atau triti perdagangan," katanya.
Mohammad Noor, rakyat Malaysia, mendedahkan yang APEC dijangka mengatasi pertumbuhan global dalam tempoh dua tahun ini.
Menurut Tinjauan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) baru-baru ini yang dikeluarkan minggu lalu, ekonomi global diunjur berkembang 3.5 peratus pada 2012 dan 4.1 peratus pada 2013.
Keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar di rantau APEC disasarkan meningkat 4.3 peratus pada 2012 dan 4.7 peratus pada 2013 – lebih tinggi berbanding yang diunjurkan untuk pertumbuhan dunia.
Pertumbuhan ekonomi di APEC diunjurkan meningkat dengan lebih pantas tahun ini berbanding tahun sebelumnya, sebahagiannya mencerminkan proses pemulihan daripada bencana alam yang melanda rantau ini pada 2011. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment